Rabu, 1 Jun 2016 | 12:04am
KUMPULAN PERMATA Seni.
- Foto BERNAMA

Anak Permata Seni buat persembahan istimewa

KUALA LUMPUR: Persembahan istimewa yang ditampilkan oleh kumpulan Permata Seni mendapat perhatian pada majlis makan malam rasmi meraikan delegasi Persidangan Antarabangsa Permata (PIC) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam ini.

Dipengerusikan oleh Penaung Program Permata, Datin Seri Rosmah Mansor, persembahan pertama menampilkan tarian pelbagai kaum, 'We Are One Malaysia', diikuti persembahan empat lagu instrumental.

Majlis itu turut diserikan dengan persembahan artistik seperti adunan gamelan.

Antara yang hadir pasangan ketua-ketua negara dan kerajaan dari Swaziland, Gambia, Guinea, Zambia, Belize, Maldives, Ghana dan Nigeria.

Bertemakan 'Children Beyond Tomorrow', PIC 2016 berfungsi sebagai wadah untuk berkongsi amalan dan inisiatif terbaik dalam pendidikan kanak-kanak seperti dipromosikan melalui tujuh program Permata - Permata Negara, Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan, Permata Kurnia, Perkasa Remaja dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Permata.

Dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini, persidangan itu berlangsung sehingga Khamis. - BERNAMA

Berita Harian X