Rabu, 1 Jun 2016 | 12:07am
PANCARAGAM bersedia dengan lagu konsert "The Revival of Tun Syed Band' di Sekolah Menengah Sains Tun Syed Shahabudin. - Foto Zulaikha Zainuzman
SHAIFUL Azhar memastikan keseragaman muzik untuk dipersembahkan pada khalayak ramai sempena Konsert 'The Revival of Tun Syed Band' di Sekolah Menengah Sains Tun Syed Shahbudin. - Foto Zulaikha Zainuzman
ANTARA alat alat muzik yang sudah berusia lebih 30 tahun. - Foto Zulaikha Zainuzman
AHLI pancaragam Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin menggunakan alat muzik yang sudah berusia lebih 30 tahun. - Foto Zulaikha Zainuzman

Pancaragam SMSTSSS "hidup" semula

 


BUKIT MERTAJAM: Menggunakan peralatan muzik lama yang berusia lebih 30 tahun tidak menghalang pancaragam Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin (SMSTSSS) mempersembahkan pertunjukan menarik.

Begitulah keunikan konsert 'The Revival of Tun Syed Band' oleh 50 ahli pancaragam sekolah berkenaan pada penganjuran sulung persembahan muzik sekolah itu.

Guru Pancaragam sekolah berkenaan, Shaiful Azhar Khuza'Ai, 33, berkata konsert sempena penjenamaan semula kelab pancaragam sekolah itu diadakan bertujuan bagi mengumpul dana untuk menambah baik dan membeli peralatan baharu muzik.

Selain itu, katanya, dana yang diperoleh itu juga akan digunakan bagi membaikpulih alatan muzik lama yang masih boleh diguna pakai, sekali gus memberi peluang kepada lebih banyak pelajar yang mempunyai minat dan bakat menyertai kelab pancaragam berkenaan.

"Kelab pancaragam sekolah ini yang asalnya mempunyai bilangan hampir 70 pelajar, kini terpaksa dikurangkan selepas berlaku kekangan peralatan muzik yang mana terdapat beberapa instrumen sudah rosak dan sukar dibaiki.

"Ini kerana, kebanyakan peralatan muzik yang ada di sekolah ini menjangkau usia empat generasi dan menyebabkan alat ganti sukar dicari yang akhirnya terpaksa disimpan sahaja," katanya.


AHLI pancaragam Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin. - Foto Zulaikha Zainuzman

GURU Pancaragam Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, Shaiful Azhar Khuza'Ai. - Foto Zulaikha Zainuzman

Shaiful berkata, akibat kekurangan dana, kelab pancaragam berkenaan pernah dibubarkan selama 18 tahun, sebelum mula aktif kembali sejak dua tahun lalu.

"Pelbagai rintangan dilalui kelab pancaragam sekolah ini berikutan kekurangan dana yang menyebabkan ia terpaksa dihentikan seketika sehinggalah mendapat inisiatif untuk menubuhkannya kembali.

"Melalui kesusahan itu, saya mendapat idea sejak tahun lalu untuk mengadakan konsert dalam usaha memperkenalkan kelab pancaragam ini, yang mana ia disertai 100 peratus pelajar Bumiputera yang berbakat dalam bidang muzik," katanya.

       

Menceritakan mengenai konsert itu, Shaiful berkata, persiapan rapi dibuat sejak awal tahun lalu termasuk mengumpul bahan dan lagu yang sesuai dipersembahkan, berikutan kekangan akibat peralatan muzik yang sudah uzur.

"Bunyi setiap instrumen begitu berbeza dan sukar untuk mendapat rentak serta melodi yang diingini kerana faktor usia peralatan muzik berkenaan.

"Namun, ia bukan penghalang utama kepada kami. Berkat kerjasama pasukan serta displin yang ditunjukkan, kami berjaya mempersembahkan 12 lagu dalam konsert itu," katanya.


SHAIFUL Azhar memberikan tunjuk ajar kepada ahli pancaragam Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin. - Foto Zulaikha Zainuzman

AHLI pancaragam Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin meneliti nota muzik. - Foto Zulaikha Zainuzman

Antara lagu popular yang dipersembahkan pada konsert berkenaan ialah Ombak Rindu, Kian, Gemilang dan Apa Guna Berjanji yang pernah dinyanyikan oleh Allahyarham Puan Sri Saloma.

Konsert yang dihadiri lebih 400 penonton dengan persembahan selama dua jam tanpa henti itu dikendalikan pelajar berbakat besar, Farah Izzah Mohd Taib, 16, yang bertindak selaku konduktor muzik.

Farah Izzah berkata, selepas terpilih mengendalikan konsert berkenaan, dia membuat latihan dengan membaca dan memahami nada muzik yang terdapat pada buku 'score' untuk mendapatkan melodi yang harmoni dan tersusun.

"Selama ini saya yang bermain alat muzik dan tidak pernah menjadi konduktor yang memerlukan saya peka terhadap semua bunyi peralatan muzik.

"Walaupun sukar dan agak mencabar, ia penting bagi memastikan semua lagu yang dipersembahkan mempunyai melodi yang merdu serta sedap didengar," katanya. 


Konduktor, Farah Izzah Mohd Taib. - Foto Zulaikha Zainuzman

AHLI pancaragam Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin menggunakan alat muzik yang sudah berusia lebih 30 tahun. - Foto Zulaikha Zainuzman

Farah Izzah turut mengakui, mempelajari muzik membantu meningkatkan daya ingatannya, sekali gus memberi kelebihan ketika proses pembelajaran di dalam kelas.

"Ramai beranggapan muzik ini melalaikan kita, namun ia tidak begitu kepada saya kerana muzik membantu meningkatkan lagi kefahaman saya terhadap pelajaran," katanya.

40 dibaca
Berita Harian X