Rabu, 1 Jun 2016 | 4:01pm

Harimau Malaysia harap tuah Larkin


KETUA pasukan Harimau Malaysia, Aidil Zafuan Abd Radzak (dua dari kiri) bersalaman dengan Ketua Pasukan Timor Leste, Junior De Souza (dua dari kanan) disaskikan Jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee (kiri) dan Jurulatih Timor Leste, Fabio Maciel pada sidang media sempena aksi play-off kelayakan Piala Asia 2019, di Hotel Double Tree. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Skuad Harimau Malaysia mengharap tuah bermain di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, bagi memenangi perlawanan berdepan Timor Leste pada aksi play-off Piala Asia, esok.

Kapten Harimau, Aidil Zafuan Abd Radzak, berkata beliau dan beberapa pemain skuad negara lain yang bermain untuk Johor Darul Ta'zim (JDT) dan biasa dengan keadaan stadium berkenaan memberi satu kelebihan pada perlawanan berkenaan.

"Sememangnya kami biasa dengan keadaan padang dan sedikit sebanyak memberi kelebihan untuk bermain esok dan kemenangan memang diharapkan kami.

"Bagaimanapun, bermain di kelab dan skuad negara satu situasi berbeza dan apa yang penting adalah keserasian, bagi saya tiada masalah dengan itu (keserasian) kerana kami masing-masing sudah mengenali antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena aksi play-off kelayakan Piala Asia 2019 di sini, hari ini

Sementara itu, pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, berkata meskipun ketiadaan pemain tonggak, Safiq Rahim yang tidak dapat beraksi akibat kecederaan, ia bukan satu penghalang sebaliknya memiliki barisan pemain yang mampu mengisi kekosongan itu.

"Kita masih ada Amirulhadi, Amirulhisyam, Fakri Saarani, Baddrol Bakhtiar, Latiff Suhaimi dan Brendan Gan Seng Ling yang bersedia serta boleh ambil alih posisi Safiq Rahim.

"Esok adalah perlawanan sengit dan kita bukan berdepan dengan skuad Timor Leste 10 tahun dahulu, sebaliknya perlu terus menyerang dan memastikan gol dan kemenangan berpihak pada Harimau Malaysia," katanya.

Berita Harian X