Rabu, 1 Jun 2016 | 5:53pm

Sultan Perak titah solat sunat Tarawih 20 rakaat


SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan semua masjid di negeri ini supaya melaksanakan solat sunat Tarawih 20 rakaat sepanjang bulan Ramadan.

Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Dr Aminuddin Muhamad, berkata ia perlu dilaksanakan bagi memenuhi keperluan dan niat penduduk di sesuatu kariah yang berhajat menunaikan solat Tarawih sebanyak 20 rakaat.

"Bagaimanapun makmum yang berhasrat menunaikan solat Tarawih kurang daripada 20 rakaat boleh berbuat demikian mengikut pilihan masing-masing.

"Semua masjid di negeri ini wajib memenuhi tanggungjawab untuk menyediakan imam dan bilal bagi memimpin solat Tarawih 20 rakaat pada setiap malam," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Aminuddin berkata, Sultan Nazrin turut menitahkan supaya solat Tarawih diutamakan dan dilaksanakan selepas solat sunat Rawatib, iaitu solat sunat yang mengiringi solat Isyak.

Katanya, oleh itu program tazkirah adalah dilarang ketika solat sunat Rawatib, solat Tarawih serta di antara rakaat semasa mengerjakan solat Tarawih," katanya.

Berita Harian X