Rabu, 1 Jun 2016 | 10:29pm

Tengku Abdullah mahu Harimau Malaysia bangkit


TENGKU Mahkota Pahang merangkap Presiden Persekutuan Hoki Asia Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (kiri) bertukar dokumen dengan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia Datuk Seri Subahan Kamal (dua, kanan) semasa Majlis Perjanjian Penganjuran Kejohanan Hoki Piala Asia 2016, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu pemain skuad kebangsaan bangkit meraih kemenangan apabila bertemu Timor Leste pada aksi play-off kelayakan Piala Asia 2019, esok.

Beliau berkata kemenangan skuad Harimau Malaysia pada aksi esok dan perlawanan timbal balik 6 Jun ini di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, penting bagi memperbaiki ranking dunia selain layak ke Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Saya memang dah lama harapkan kebangkitan pasukan kebangsaan. Kemenangan ke atas Timor Leste sangat penting untuk kita layak ke peringkat seterusnya dan memperbaiki ranking.

"Inilah hakikat yang pemain patut sedar. Biarkan jurulatih dan pemain membuktikan kemampuan mereka di atas padang," kata Tengku Abdullah, yang juga Presiden

Persekutuan Hoki Asia (AHF), kepada pemberita selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia di sini, hari ini.

Kali terakhir skuad kebangsaan mencatat kemenangan adalah pada 13 Oktober lepas ke atas pasukan Timor Leste dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, sebelum dibelasah 0-6 oleh Palestin pada 12 Nov, tewas 1-2 kepada UAE (17 November) dan 0-2 kepada Arab Saudi (25 Mac) dalam kempen tersebut.

Lebih memalukan, skuad negara hanya menjaringkan tiga gol berbanding 30 kali bolos dalam lapan perlawanan sepanjang kempen itu, termasuk kekalahan 0-10 ketika menentang UAE.

Malaysia turut gagal menjaringkan sebarang gol pada dua aksi persahabatan seterusnya apabila terikat tanpa jaringan bertemu Macau di Melaka pada 29 Mac lepas dan berdepan Myanmar di Yangon, Sabtu lepas.

Sementara itu, Tengku Abdullah meminta pemain supaya menyuarakan pendapat mereka jika terdapat sebarang masalah dalam skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu.

"Kalau ada protes pun perlulah bersuara...saya pun tak boleh membuat satu anggapan atau andaian tetapi kita semua kena sedar kepentingan apabila mewakili negara," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X