Khamis, 2 Jun 2016 | 4:15pm

JHEAT tidak tetapkan jumlah rakaat Tarawih

KUALA TERENGGANU: Jawatankuasa masjid dan surau milik kerajaan diberi kebebasan untuk mengadakan solat sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat atau lapan rakaat, sepanjang Ramadan tahun ini.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Omar Musa, berkata Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menyerahkan kepada jawatankuasa masjid dan surau untuk menetapkan jumlah rakaat solat sunat Tarawih.

Katanya, jawatankuasa masjid dan surau milik kerajaan negeri perlu memenuhi permintaan makmum sama ada mereka berhasrat untuk menunaikan solat sunat Tarawih sebanyak lapan atau 20 rakaat, tetapi setiap imam yang dipertanggungjawabkan perlu memenuhi permintaan.


PESURUHJAYA Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Omar Musa. - Foto Mohd Syafiq Ambak

"Selain menggunakan imam tetap, JHEAT juga meluluskan permohonan jawatankuasa masjid dan surau untuk menggunakan khidmat imam jemputan, tetapi perlu mendapat pengiktirafan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM).

"Ada antara jawatankuasa masjid dan surau menggunakan khidmat imam jemputan terdiri daripada pelajar Institut al-Quran Terengganu (IQ Terengganu)," katanya ketika ditemui pada Majlis Istiadat Konvokesyen IQ Terengganu kali ke-10, di sini, tengah hari tadi.

Majlis Konvokesyen IQ Terengganu dirasmikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan negeri, Datuk Mohd Zuber Embong. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib serta Pengarah IQ Terengganu, Profesor Madya Dr Ahmad Bazli Shafie.

Omar berkata, bagi mengelakkan makmum keletihan, imam dibenarkan menyampaikan tazkirah antara solat sunat Tarawih.

Berita Harian X