Khamis, 2 Jun 2016 | 5:42pm

Perisian cetak rompak, VCD RM893,600 dirampas

HAMZAH (kanan) menunjukkan komputer yang dirampas mengandungi salinan perisian komputer cetak rompak pada sidang media di Pejabat KPDNKK negeri di Wisma Persekutuan, Ayer Keroh. - Foto Norizzah Baharudin
HAMZAH (kanan) menunjukkan komputer yang dirampas mengandungi salinan perisian komputer cetak rompak pada sidang media di Pejabat KPDNKK negeri di Wisma Persekutuan, Ayer Keroh. - Foto Norizzah Baharudin

AYER KEROH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri menyita pelbagai perisian cetak rompak dan komputer membabitkan nilai rampasan berjumlah RM893,600, bermula Januari hingga 31 Mei lalu.

Terbaharu, KPDNKK negeri menyerbu dua premis syarikat reka bentuk dalaman dan syarikat elektrik mekanikal di Taman Merdeka Permai dan Ayer Keroh, pada Isnin dan Selalu lalu membabitkan nilai rampasan sebanyak RM265,000.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri, Hamzah Mahadi, berkata dalam serbuan pertama kira-kira jam 2 petang di Taman Merdeka Permai, pihaknya menyita lima komputer dan 16 salinan perisian komputer cetak rompak bernilai RM180,000.

Katanya, dalam serbuan kedua kira-kira jam 11 pagi pada Selasa, pihaknya merampas tiga komputer riba bersama lima salinan perisian cetak rompak, bernilai RM85,000.

"Kedua-dua syarikat berkenaan dipercayai sudah menggunakan perisian cetak rompak dalam urusan perniagaan lebih enam bulan lalu dan antara salinan perisian cetak rompak itu ialah Adobe, Autodesk dan Microsoft.

"Pengusaha syarikat berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987 dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda minimum RM2,000 bagi setiap keping dan maksimum RM20,000," katanya pada pada sidang media di Pejabat KPDNKK negeri di sini, hari ini. Turut hadir, timbalannya, Rosley Abdullah.

Hamzah berkata, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, pihaknya turut melakukan rampasan berjumlah RM628,600 dalam Ops Gerak Gempur Cetak Rompak (GGCR) dalam usaha mengekang masalah cetak rompak.

"Ops GGCR bukan sahaja membabitkan salinan perisian komputer cetak rompak, malah turut membuat rampasan video cakera padat (VCD) dan sepanjang tempoh itu, 140 premis diperiksa.

"Selain premis, kami turut mengadakan serbuan di 31 lokasi pasar malam di seluruh negeri, sebelum 10 kes disabitkan mengikut Akta Hak Cipta 1987 dan 12 kes mengikut Akta Perihal Dagangan (APD) 2011," katanya.

Berita Harian X