Khamis, 2 Jun 2016 | 6:10pm

Erma perjelas ketiadaan Ogy dalam drama Mak Cun


PELAKON drama Mak Cun 2. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Ketika mengumumkan kemunculan pelakon berkaliber, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy dalam Teater Muzikal Mak Cun arahannya tahun lalu, pengarahnya, Erma Fatima, turut memberitahu aktres berkenaan akan terbabit sama dalam musim kedua drama popular terbitannya.

Malah kehadiran Fauziah atau Ogy yang memegang watak sebagai Chombi dalam teater terbabit juga adalah sebagai babak pengenalan bagi peminat setia drama siaran TV3 itu.

Bagaimanapun, sejak mula ditayangkan 29 April lalu, bayang pelakon yang terkenal dengan filem Azura dan Suara Kekasih itu langsung tidak kelihatan.

Sebaliknya, watak Chombi diberikan kepada Norish Karman.


PENGARAH, Erma Fatima. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Ketiadaan Ogy dalam drama bersiri itu menimbulkan pelbagai spekulasi. Maklum sajalah, hubungan kedua-duanya juga pernah dingin sebelum ini dan tentunya apabila situasi itu berlaku, pelbagai sangkaan bukan-bukan pasti menjelma.

Enggan membuat andaian, BH Online mendapatkan sendiri jawapan kepada tanda-tanya itu daripada Erma. Sambil menafikan ketiadaan Ogy dalam drama bersirinya disebabkan masalah dalaman, beliau turut memberitahu perkara itu berlaku kerana masalah jadual yang bertindih.

"Memang sejak awal lagi kami bercadang untuk mengambil Ogy untuk berlakon dalam produksi Mak Cun. Malah, watak Chombi pun kami sudah perkenalkan kepada peminat ketika pementasan Teater Muzikal Mak Cun, tahun lalu. Bagaimanapun disebabkan masalah jadual bertindih, maka kerjasama itu tidak dapat diteruskan.

"Kebetulan sewaktu kami mengadakan penggambaran Mak Cun, Ogy terbabit dalam penggambaran drama bersiri Hajah Heathrow. Keputusan ini dibuat secara bersama dan stesen TV juga sudah maklum mengenainya.

"Apapun saya anggap ia bukan rezeki saya. Perkara ini berlaku bukannya kerana kami ada masalah dan tidak boleh berlakon bersama," terang Erma ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama 10 pemenang peraduan #makcun2contest di sini, semalam.

Tambah Erma, jika berpeluang, beliau tetap ingin bekerjasama dengan pelakon yang mendapat jolokan primadona itu pada masa akan datang.

Drama bersiri 20 episod terbitan Rumah Karya Citra Sdn Bhd itu turut menampilkan pelakon seperti Datin Seri Umie Aida, Balkisyh Samundur Khan dan Datuk Rahim Razali.

49 dibaca
Berita Harian X