Jumaat, 3 Jun 2016 | 12:11pm

Joe Wings anjur pertandingan cari protege


JOE Wings.

KUALA LUMPUR: Bersama matlamat merancakkan semula industri hiburan negara dengan kemunculan lebih banyak kumpulan muzik, sebuah pertandingan dikenali sebagai War Of Bands - Joe Wings Mencari Protege bakal dianjurkan bermula Ogos ini.

Pertandingan inisiatif JMP Productions dan Tio Studio dengan kerjasama Anggerik Event itu sedikit sebanyak mengikut konsep Battle Of The Bands yang pernah popular satu ketika dulu.

Bezanya, kali ini peserta yang layak berpeluang merakamkan karya mereka untuk dimuatkan dalam album kompilasi selain mendapat tunjuk ajar dan sokongan daripada Joe sendiri.

Menurut pemuzik kumpulan rock terkenal itu, bakat baharu yang berkebolehan berhak dihormati dengan didikan melalui saluran yang betul.

"Dengan cara itu, barulah mereka berpeluang menjadi bakat yang bersinar dan berkualiti, bukan bintang bermusim," katanya pada sidang media di ibu kota, semalam.

Pertandingan itu akan dijalankan secara saringan di tiga lokasi iaitu masing-masing di Johor Bahru, Johor pada 31 Ogos; MAEPS Serdang, Selangor (16 September); dan Ipoh, Perak (1 Oktober).

Setiap penyertaan dikenakan yuran RM300 dan ia terbuka kepada bakat berusia antara 15 dan 35 tahun dengan setiap penyertaan, pihak penganjur akan mendermakan RM30 kepada Tabung Kebajikan Yazit Search.

Format pertandingan peringkat saringan memerlukan setiap kumpulan menyampaikan dua lagu dalam tempoh masa ditetapkan. Mereka boleh mempersembahkan lagu tempatan, antarabangsa ataupun karya ciptaan sendiri.

Pertandingan akhir akan diadakan di MAEPS Serdang pada 16 Oktober depan.

Sebanyak empat kumpulan daripada setiap saringan akan dipilih untuk ke final, yang akan diadili Hillary Ang, Yazit dan Joe.

Pada peringkat akhir juga, setiap kumpulan diwajibkan membawakan sebuah lagu Wings yang diolah semula mengikut cita rasa masing-masing selain lagu ciptaan sendiri.

Juara pertandingan ini bakal menerima hadiah wang tunai RM5,000. Dua belas kumpulan, termasuk finalis juga akan dipilih untuk merakamkan lagu dalam album kompilasi yang bakal diselia dan diterbitkan oleh Joe Wings sendiri.

Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari laman sesawang http://www.tioevent.com/jwwob atau lawati Facebook rasmi, http://www.facebook.com/joewingsprotege.

Berita Harian X