Jumaat, 3 Jun 2016 | 5:56pm

Bukit Aman akan rakam percakapan rakan, kenalan Huckle

RICHARD Huckle mencabul dan melakukan penderaan seks ke atas lebih 200 kanak-kanak di negara ini.

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil kenalan dan rakan rapat pedofilia warga Britain, Richard Huckles di negara ini untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung tindakannya mencabul dan melakukan penderaan seks ke atas lebih 200 kanak-kanak di negara ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan (JSJ) (Siasatan dan Perundangan) Bukit Aman, Datuk Law Hong Soon, berkata walaupun belum ada mangsa tampil membuat laporan polis terhadap Huckle, Bukit Aman sudah memulakan siasatan sebaik perkara itu dimaklumkan oleh Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) United Kindom, April lalu.

"Pasukan kita dari D11 (Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak) sudah turun ke lapangan, ke tempat-tempat Huckle pernah diami atau kunjungi dalam usaha kita mengesan mangsa dan saksi.

"Dalam pada itu, kita juga sudah kenal pasti rakan dan kenalan rapat suspek, dan kita akan panggil mereka untuk diambil keterangan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita di sini, tadi.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Fun Run Portal Kanak-kanak Hilang di Taman Tasik Perdana yang disertai lebih 50 pegawai dan anggota JSJ, iaitu program larian dan pada masa sama mengedarkan risalah portal berkenaan.

Hong Soon berkata, selain siasatan di lapangan, siasatan Bukit Aman turut dibantu melalui perkongsian maklumat oleh pihak NCA serta polis Australia yang menjadi pihak pertama mengesan perbuatan Huckles.

BBC News melaporkan Huckle berjaya ditangkap susulan siasatan polis Australian dan Eropah terhadap kewujudan laman web lucah kanak-kanak, Love Zone, yang tersembunyi dalam 'dark web' yang memerlukan kata laluan, penyulitan ( encryption) dan perisian tertentu untuk menyertainya.

Penyiasat Pasukan Khas Targos di Australia hanya tahu pengendali laman web itu menggunakan ucapan 'hiyas' dan selepas sekian lama memantau laman sembang dan forum, mereka menemui satu akaun Facebook palsu menggunakan ucapan berkenaan membolehkan lelaki berkenaan, Shannon McCoole, dikenal pasti melalui kenderaannya.

McCoole bekerja dengan agensi kebajikan kanak-kanak di Adelaide dan ketika menyerbu rumahnya, polis mendapati dia sedang berada dalam talian mengendalikan laman web itu.

Polis mengenal pasti tangannya sebagai tangan yang sama dalam banyak gambar penganiayaan seks kanak-kanak dan tahun lalu, dia dijatuhkan hukuman 35 tahun penjara.

Pasukan khas itu berlakon sebagai McCoole, mengambil alih laman web berkenaan dan begitulah mereka menemui Huckle sebagai ahli yang banyak memuat naik gambar, video dan cerita penderaan seks olehnya terhadap kanak-kanak.

Pasukan itu berjaya mengenal pasti identiti Huckle dan tahu dia akan pulang ke Britain untuk Krismas pada 19 Disember 2014 lalu memberi maklumat kepada polis Britain dan dia ditahan sebaik mendarat di Lapangan Terbang Gatwick.

Berita Harian X