Sabtu, 4 Jun 2016 | 2:01am

Nyanyian Mazmur dendangan terakhir

'SEORANG penulis tidak berhenti dalam pengembaraannya.' Petikan itu menutup prakata yang ditulis oleh Sutung Umar Rs dalam kumpulan puisinya, Nyanyian Mazmur, sekali gus melabuhkan tirai kepenyairannya.

Ada benarnya petikan itu kerana buku seseorang pengarang akan terus dibaca dan diulas, bahkan tidak mustahil dikritik selepas penulisnya menutup mata.

Nyanyian Mazmur tidak terkecuali daripada karya yang akan disorot kerana kata puitis dan prosaik yang terilham daripada kitab Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud meneruskan pengembaraan pada ranah pemikiran dan kerohanian pembaca.

Ia tidak bermakna buku ini memindahkan 100 peratus kandungan kitab itu kerana pengarang seperti umat Islam lain menyedari teks asalnya sudah mengalami perubahan dan diselewengkan.

Unsur agama samawi, budaya

'Peminjaman' unsur dalam agama samawi selain Islam dan peradaban silam mahupun budaya dari bangsa besar sudah berlaku dalam tradisi sastera serta persuratan Islam khususnya puisi.

Mathnawi dan Diwan Shams Tabriz yang diwariskan oleh Maulana Jalaluddin al-Balkhi Rumi umpamanya turut meminjam kisah tradisi Yahudi dan Parsi sebagai perlambangan kepada realiti yang bersifat metafizik.

Dalam konteks mutakhir, kumpulan puisi, Dondang Pembukaan karya Lutfi Ishak turut terpengaruh dengan peminjaman yang banyak berlaku dalam tradisi puisi Islam khususnya dari Parsi.

Justeru, kitab Zabur digunakan sebagai landasan untuk menyampaikan perjalanan kerohanian penyair dalam Nyanyian Mazmur dengan kandungan pemikirannya kritis ditujukan kepada masyarakat pada masa kini.

Petikan al-Quran dan hadis sebenarnya lebih terserlah dalam kumpulan ini yang sememangnya semakin akrab dalam penghujung hayat Sutung Umar Rs.

Beliau juga memilih pengungkapan yang lebih prosaik dalam doa yang memperakui kefakiran sebagai abdi Tuhan Maha Besar dan penyerahan nasib terhadap orang jahat dan zalim kerana kesedaran terhadap realiti kehambaan itu.

Kritik ahli politik, liberalisme

Kita dapat mengesan kritikan yang jelas kepada ahli politik, termasuk yang dianggapnya mempergunakan agama untuk tujuan kekuasaan, selain menunjukkan kesalahan berfikir golongan liberalisme yang semakin kacau.

Ada kalanya, membaca doa yang dipanjatkan penyair terhadap golongan jahat dan zalim itu meremangkan bulu roma kerana membayangkan seolah-olah tidak ada apa-apa lagi yang dapat diharapkan daripada kelompok itu.

Ini mengingatkan kumpulan puisi Shikwa dan Jawab-i-Shikwa karya Muhammad Iqbal, tetapi tentunya tidak 'setegang' diksi yang digunakan oleh pemikir serta negarawan agung itu.

Membaca buku ini menuntut kesabaran kerana penyair seolah-olah memasukkan ilmu yang diperolehnya sehingga ada bahagian yang sarat dengan isi ilmiah.

Berita Harian X