Sabtu, 4 Jun 2016 | 8:58am

5 atlet Habsyah diuji positif meldonium


LIMA atlet Habsyah digantung dan masih dalam siasatan berkaitan doping. - Foto hiasan

ADDIS ABABA (Habsyah): Lima daripada enam atlet Habsyah digantung dan masih dalam siasatan berkaitan doping oleh pihak berkuasa negara itu kerana diuji positif bahan terlarang meldonium, kata doktor pasukan trek kebangsaan, semalam.

Dua daripada enam atlet terbabit bakal menyertai pasukan kebangsaan negara itu ke Olimpik Rio de Janeiro "jika mereka bersih," kata Ayalew Tilahun dalam temubual ketika lawatan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) ke negara Afrika Timur itu.

Ayalew tidak memberikan sebarang nama atau bahan perangsang yang diuji positif terhadap enam atlet itu.

Ayalew bagaimanapun berkata, kelewatan mengumumkan kes berkenaan kepada umum kerana keputusan WADA yang mahu menjalankan kajian lebih saintifik terhadap meldonium.

Meldonium diharamkan sejak 1 Januari lalu namun lebih banyak kajian diperlukan untuk mendapatkan kepastian berapa lama ia boleh kekal dalam badan.

Atlet yang gagal ujian mungkin mengambil meldonium sebelum ia diletakkan dalam senarai bahan larangan WADA.

"Jadi kami hanya meletakkan atlet ini di bawah pengawasan dan kami tidak membuat keputusan sehingga diberi lampu hijau dari WADA dan IAAF," kata Ayalew. - AP

Berita Harian X