Ahad, 5 Jun 2016 | 6:10am

Budaya Melayu mulai subur dalam perjuangan

DUA hari lamanya, barisan pucuk pimpinan PAS duduk di pentas Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) dengan kemas berbaju Melayu hijau sedondon - sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Muktamar PAS.

Tidak pernah dilihat juga, 'panglima' memakai persalinan Melayu mengusung masuk pulut ke dewan sebelum dipotong oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menggunakan keris sepanjang satu meter, diiringi bunyi tiupan seruling dan nafiri.

Muktamar PAS ke-62 menyaksikan PAS perlahan-lahan membuka pintu dan memberi ruang budaya Melayu subur menyusupi rumahnya - sesuatu yang kerap dikaitkan dengan UMNO. PAS kini sedia mendakap kelainan tanpa berganjak dari landasan perjuangan.

Era pasca putusnya tahaluf siyasi bersama DAP, tertubuhnya Parti Amanah Negara (Amanah) yang didukung bekas ahli PAS dan terbentuk ikatan Pakatan Harapan dibarisi pembangkang tanpa PAS, menekan PAS dengan pilihan terhad.

Tidak serang membuta tuli

PAS mengakui tidak lagi menyerang dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) secara membuta tuli, malah UMNO juga bukan sasaran modal bahas berapi-api perwakilan hinggakan suhu di dewan PUTIK seakan suam dan ada ketikanya mencecah paras dingin beku.

Jika ada pun, nadanya lebih berhemah berbanding 10 atau 20 tahun lalu. Kata pucuk pimpinan PAS, itu adalah politik matang. Bisik orang UMNO, ia petanda mereka sudah letih berbalah.

Suatu masa dahulu, dominasi politik tanah air adalah PAS menentang UMNO dengan masing-masing diterajui pemimpin yang berada dalam kelas tersendiri.

Apa pun pentasnya pada waktu itu - ceramah, muktamar, perhimpunan agung atau pilihan raya - topik pertembungan PAS-UMNO bagai menjadi penanda aras sokongan orang Melayu dalam menentukan hala tuju survival orang Melayu beragama Islam.

Pertembungan itu masih berlaku, cuma kini dalam skala lebih profesional. Selagi PAS dan UMNO tidak (atau belum) menjadi satu entiti, selagi itulah ada kebobrokan yang akan didedah, ditegur dan dibahaskan.

Kukuh kedudukan umat Islam

Lembaran politik tanah air bagai disuntik aura baharu apabila PAS dan UMNO berada di perenggan serta halaman sama hingga membolehkan usul Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 dibentang di Dewan Rakyat.

Kesan jangka panjang RUU itu jika melepasi proses seterusnya Oktober depan, bakal mengukuhkan kedudukan umat Islam dari segi perundangan syariah - sesuatu yang tidak menyentuh masyarakat bukan Islam di negara ini.

Keperluan untuk PAS-UMNO mengukuhkan perpaduan ummah sentiasa ada tanpa perlu mengorbankan prinsip perjuangan manakala ruang kerjasama kedua-dua pihak tidak wajar disempitkan seperti sebelumnya.

Bukan PAS sahaja yang mahukan politik matang dan sejahtera. Ia adalah ramuan utama diperlukan Malaysia untuk tidak lagi bergantung kepada penyelesaian lapuk dalam  menangani permasalahan semasa.

Berita Harian X