Ahad, 5 Jun 2016 | 11:06pm

Atlet remaja kita terus cemerlang di Vietnam


EMAS pertama negara milik atlet lompat kijang wanita, Kirthana Ramasamy yang mencatatkan lompatan sejauh 13.20. - Foto Facebook

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga remaja kebangsaan terus mempamerkan aksi cemerlang apabila menambah dua pingat emas serta memenangi dua perak hari ini yang juga hari ketiga Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-17 di Ho Chi Minh City, Vietnam.

Emas pertama negara milik atlet lompat kijang wanita, Kirthana Ramasamy yang mencatatkan lompatan sejauh 13.20 meter (m).

Lebih manis, kejayaan itu membolehkan Kirthana, 19, melepasi standard kemasukan ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) iaitu 13m untuk bertanding pada Kejohanan Dunia Bawah 20 Tahun di Bydgoszcz, Poland pada 19 hingga 24 Julai ini.

Perak milik Mariya Ovchnnikova (13.19m) dan gangsa Anna Gorodkova (12.97m), masing-masing dari Kazakhstan.

Acara 110m lari berpagar lelaki turut cemerlang apabila Mohd Rizzua Haizad Muhamad meraih emas kedua buat negara selepas mencatatkan kepantasan 14.00s, manakala perak milik Poulose Maymon dari India (14.02s) dan gangsa, Zhang Tao, China (14.05s).

Kuartet 4x100m lelaki gandingan Badrul Hisyam Abdul Manap, Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Haiqal Hanafi dan Asnawi Hashim pula menghadiahkan pingat perak buat negara selepas menamatkan larian dengan catatan 39.91s.

Selain itu, lompat tinggi juga tidak mengecewakan apabila turut menyumbangkan pingat perak menerusi Noor Shafie Mohd Shah selepas melakukan lompatan 2.14m.

Dalam perkembangan sama, aksi separuh akhir 200m lelaki menyaksikan Khairul Hafiz memadamkan rekod remaja kebangsaan selepas merakamkan kepantasan 21.01s, sekali gus mara ke final esok.

Sebelum ini rekod itu dipegang Azmi Ibrahim yang mencatatkan 21.13s pada 15 Oktober 1995.

Untuk rekod, semalam Khairul Hafiz dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) merangkul pingat emas buat kem negara dalam acara 100m dengan kepantasan 10.36s.

Berita Harian X