Isnin, 6 Jun 2016 | 10:27pm

Khairul Hafiz pulang dengan 1 emas, 2 perak

Kuartet 4x100m lelaki remaja Malaysia (dari kiri), Asnawi Hashim, Badrul Hisham Abdul Manap, Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi yang dalam persediaan bagi menyertai Kejohanan Remaja ASEAN di Vietnam bermula 3 Jun lalu. - Foto Osman Adnan
Kuartet 4x100m lelaki remaja Malaysia (dari kiri), Asnawi Hashim, Badrul Hisham Abdul Manap, Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi yang dalam persediaan bagi menyertai Kejohanan Remaja ASEAN di Vietnam bermula 3 Jun lalu. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Pelari muda negara, Khairul Hafiz Jantan terpaksa berpuas hati apabila sekadar meraih pingat perak acara 200 meter (m) lelaki dengan catatan 21.15s pada aksi final Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-17 di Ho Chi Minh City, Vietnam, hari ini.

Walaupun kepantasan itu menurun berbanding 21.01s ketika dirakamkan pada aksi separuh akhir semalam, Khairul Hafiz perlu berbangga kerana dia menyapu semua pingat acara disertainya pada kejohanan terbabit.

Terdahulu, dia meraih pingat emas pertama negara menerusi acara 100m dengan kepantasan 10.36s kelmarin selain membantu kuartet 4x100m lelaki meraih pingat perak catatan 39.91s, semalam.

Apa pun kepantasan itu 21.13s adalah 0.01s lebih baik berbanding 21.14s ketika menghadiahkan emas acara sama yang juga kegemarannya pada Kejohanan Olahraga Terbuka Filipina, April lalu.

"Saya bersyukur kerana dapat sapu semua pingat acara disertai saya dan juga pertama kali mencapai keputusan seumpama ini," kata Khairul Hafiz.

Sementara itu, jurulatih pecut Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Mohd Poad Md Kassim berharap keputusan baik yang ditampilkan oleh anak didiknya seperti Khairul Hafiz dan Badrul Hisyam Abdul Manap sepanjang kejohanan adalah satu titik permulaan untuk lebih berjaya selepas ini.

Dalam perkembangan sama, kem olahraga remaja kebangsaan turut menambah satu pingat gangsa menerusi acara 200m wanita, Noor Eewan Syafiqah Mohd Sabri yang menamatkan larian dengan catatan 24.50s.

Tambahan dua pingat pada hari terakhir saingan membolehkan Malaysia menutup tirai kejohanan remaja peringkat Asia dengan kutipan 3 (emas), 3 (perak) dan 1 (gangsa).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X