Selasa, 7 Jun 2016 | 12:16am

Malaysia atasi Timor Leste, hidup kembali peluang


PEMAIN Harimau Malaysia, Fazly Mazlan (kanan) berebut bola dengan pemain Timor Leste, Diogo Santos Rangel ketika perlawanan play-off Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

JOHOR BAHRU: Malaysia menghidupkan kembali peluang layak ke Piala Asia 2019 selepas menewaskan Timor Leste 3-0 pada perlawanan playoff kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.

Selepas merakam kemenangan, juga 3-0, pada perlawanan pertama Khamis lalu, skuad kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee layak menyertai kelompok 24 pasukan yang akan bersaing merebut 12 tempat ke Piala Asia 2019.

Pada perlawanan sebentar tadi, Malaysia mendahului menerusi Khair Jones pada minit ke-16 yang menyempurnakan hantaran lintang S Kunanlan.

Bersambung babak kedua, penjaring dua gol pada perlawanan pertama, Ahmad Hazwan Bakri melebarkan kedudukan selepas menanduk padu hantaran Azrif Nasrulhaq pada minit ke-58.

10 minit kemudian, pemain gantian S Chanturu memastikan kemenangan selesa buat Harimau Malaysia apabila menolak mudah bola lambungan Kunanlan ke depan pintu gawang.

Berita Harian X