Selasa, 7 Jun 2016 | 10:09am

Jiran Hefner bakal jadi pemilik baharu rumah agam Playboy


RUMAH agam Playboy milik Hugh Hefner. - Foto AFP

LOS ANGELES: Rumah agam Playboy milik Hugh Hefner bakal mendapat pemilik baharu, dipercayai seorang ahli perniagaan kaya yang tinggal di sebelah kediamannya.

Wakil Playboy Enterprises dan Daren Metropoulos mengesahkan semalam tawaran Metropoulos 'untuk membeli kediaman Hefner ada di escrow.

Kedua-dua pihak enggan mendedahkan harga jualan sehingga escrow ditutup, tetapi seorang wakil untuk Metropoulos berkata syarat-syarat akan membenarkan pengasas majalah Playboy berusia 90 tahun itu untuk kekal di rumah agam berkenaan sepanjang hidupnya.

Kediaman yang terletak di lokasi terkenal Holmby Hills LA itu pada asalnya disenaraikan pada AS$200 juta (RM817 juta), tetapi ejen hartanah tempatan ketika itu berkata ia terlalu mahal. Sebuah hartanah berdekatan tahun lalu dijual pada harga AS$59 juta (RM241 juta).

Metropoulos membeli kediamannya bersebelahan dengan rumah agam Hefner pada tahun 2009 dengan harga AS$18 juta (RM73.5 juta).

Rumah agam yang banyak menyimpan sejarah parti liar membabitkan artis Hollywood itu dibina pada 1927 dan dibeli oleh Playboy Enterprises pada 1971 dengan harga AS$1.05 juta (RM4 juta).

Ia terletak di kawasan seluas dua hektar dan mempunyai 29 bilik, termasuk sebuah rumah permainan, sistem teater rumah, bilik simpanan wain, gimnasium, gelanggang tenis, kolam renang dan rumah tetamu dengan empat bilik. - AP

Berita Harian X