Selasa, 7 Jun 2016 | 1:23pm

Badrul Hisyam, Hafiz tetap sertai SUKMA


BADRUL Hisham Abdul Manap (kiri) dan Khairul Hafiz Jantan. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Jurulatih pecut Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Mohd Poad Md Kassim tetap memilih menghantar atletnya bertanding di Sukan Malaysia (SUKMA), Sarawak dan bukannya ke Kejohanan Remaja Dunia di Bydgoszcz, Poland, yang masing-masing dijadualkan Julai ini.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana ramai rakyat di negara ini yang mahu melihat kelibat dua pelari remaja terpantas ketika ini iaitu Badrul Hisyam Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan beraksi di temasya terbabit apatah lagi ia hanya berlangsung dua tahun sekali.

"Sudah tentu ramai yang ingin melihat aksi Badrul Hisyam dan Khairul Hafiz, lebih-lebih lagi peminat di Sarawak selain sebagai pentas membalas balik jasa kepada negeri kelahiran mereka, Melaka.

"Tapi sebagai jurulatih, walaupun tidak menyertai kejohanan di Poland, saya berharap mereka diberi peluang untuk menyertai lebih banyak perlumbaan di luar negara seperti di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) kerana di sana saingan lebih kuat dan tinggi," katanya yang ketika ini berada di Vietnam ketika dihubungi.

Terdahulu, ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas mahu dua bintang muda itu melupakan SUKMA Sarawak sebaliknya memberi tumpuan kepada kejohanan peringkat dunia.

Untuk rekod, Badrul Hisyam dan Khairul Hafiz menempah tiket acara 100 meter (m) ke Poland tahun lalu di Kejohanan Olahraga Terbuka UniMAP Kali Ke-4, Oktober 2015 masing masing dengan catatan 10.50s dan 10.53s selepas melepasi had kelayakan ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), 10.55s.

Kedua-dua atlet muda itu turut mengesahkan slot acara 200m ke kejohanan sama. Selain acara pecut, dua atlet remaja lain turut layak adalah R Kirthana dan Mohd Rizzua Haizad Muhammad masing-masing acara lompat kijang wanita serta 110m lari berpagar lelaki, dilakukan di Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-17 di Ho Chi Minh City, Vietnam.

Berita Harian X