Rabu, 8 Jun 2016 | 12:04am

Pegang akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah


PROF Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas.

DALAM syarahannya, Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas sering membawa kisah isteri Aladin menukarkan lampu ajaib lamanya dengan 'produk' baharu ahli sihir kerana terpengaruh dengan kilau zahirnya.

Anekdot ini mengingatkan saya pada fenomena ramai ilmuwan dan intelektual dari luar yang berkunjung ke negara ini.

Selain dasar kerajaan bersikap terbuka dan konsep wasatiyyah diamalkan di negara ini, masyarakat kita memang meraikan tokoh berilmu termasuk dalam Islam.

Malah sejarah kemasukan Islam yang menjadi sebahagian perkembangan agama ini di alam Melayu menyerlahkan hakikat itu.

Ulama dan pendakwah khususnya keturunan Imam Ahmad bin Isa al-Muhajir yang bersambung salasilah kepada Nabi Muhammad SAW, sejak sekian lama bukan saja terbabit dalam dakwah serta pendidikan, bahkan terbabit dalam kesultanan dan kerajaan Melayu di rantau ini.

Kekeliruan fahaman asing

Hal sama juga berlaku pada era pascamodenisme apabila ilmuwan dan intelektual terus datang atau dibawa ke negara ini untuk berkongsi keilmuan serta keintelektualan mereka.

Bagaimanapun ketika idea liberalisme dan pluralisme semakin getir, ditambah kekusutan sedia ada akibat kekeliruan daripada faham pseudo-Salafi dan Wahabisme, maka ada baiknya kita menerimanya dengan hati-hati.

Penerimaan berhati-hati bukanlah bermakna mengambil tindakan semberono atau menekan butang panik, sebaliknya menilainya dengan kerangka dan pandangan alam Islam yang benar.

Saya tertarik dengan nasihat oleh ilmuwan Islam dari Amerika Syarikat (AS), Sheikh Dr Umar Faruq Abd-Allah ketika menyampaikan syarahan Balancing Reason & Tradition In Contemporary Context di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur.

Beliau mengingatkan kita supaya berpegang dengan apa yang sudah diterima dan diamalkan oleh bangsa Melayu sejak zaman-berzaman, iaitu Islam yang mengangkat peradaban bangsa Melayu.

Warisan agama, ASWJ

'Warisan' datuk nenek kita yang hakiki ialah akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) seperti disusun Imam Abu Hassan Ashaari dan Imam al-Maturidi, manakala dalam konteks fiqh seperti yang diterima di alam Melayu, iaitu mazhab Syafie serta tasawuf dengan rantaian ulama seperti Shaikh Abdul Qadir al-Jilani, Imam al-Junaid dan Imam al-Ghazali.

Hal sama juga pernah diingatkan oleh pengasas Kolej Zaytuna di AS, Shaikh Hamza Yusuf dalam siri kunjungannya sebelum ini termasuk dalam wawancaranya dengan IKIMfm yang didokumentasikan oleh institusi itu dalam bentuk cakera padat (CD).

Nasihat itu bukan menyuruh kita untuk bersikap tertutup kerana Dr Umar Faruq sendiri dalam syarahannya menekankan kesatuan rasional dengan sumber ilmu lain dalam tradisi Islam.

Epistemologi atau faham kedudukan ilmu dalam Islam memang sudah kukuh tetapi pergelutan pemikiran dalam tradisi Barat atau reaksi umat Islam terhadap modenisme menyebabkan kita terikut sama mendukung 'biawak hidup' itu.

Justeru nasihat Dr Umar Faruq itu amat cocok dengan anekdot al-Attas supaya kita tidak mengulangi kesilapan isteri Aladin yang menggadaikan lampu ajaib dengan produk baharu semata-mata kerana mata kita tersilau dengan pancaran palsunya.

44 dibaca
Berita Harian X