Rabu, 8 Jun 2016 | 9:59am

4 maut, 15 cedera polis lepaskan tembakan ke arah pelajar

SYDNEY: Empat terbunuh dan sekurang-kurangnya 15 pelajar universiti cedera apabila polis Papua New Guinea melepaskan tembakan ke arah mereka yang merancang berarak dari kampus ke bangunan Parlimen bagi mendesak Perdana Menteri, Peter O'Neill dikenakan dakwaan rasuah.

Agensi bantuan yang enggan dikenali berkata, ia memperoleh maklumat dari klinik universiti menyatakan sekurang-kurangnya 15 pelajar cedera, dengan empat terbunuh.

Hospital Besar Port Moresby berkata, 10 pelajar dimasukkan ke situ.

"Mereka dalam keadaan sukar," kata pegawai hospital.

Ribuan pelajar Universiti Papua New Guinea di Port Moresby membantah dan memulaukan kelas beberapa minggu di tengah krisis politik di negara Pasifik itu.

Gabenor Wilayah Oro, Gary Juffa, pengkritik lantang kerajaan pimpinan O'Neill, berkata dalam Twitter, beliau bercakap secara langsung dengan pelajar pada tunjuk perasaan itu.

"Dimaklumkan beberapa ditembak," kata Juffa, menambah kejadian itu bermula dengan pertengkaran antara superintenden polis dan seorang pelajar.

Perbadanan Penyiaran Australia memetik pelajar, Gerald Peni, sebagai berkata polis menembak secara langsung ke arah pelajar apabila mereka tidak membenarkan presiden majlis pelajar ditangkap. - REUTERS

Berita Harian X