Rabu, 8 Jun 2016 | 11:34am

Iskandar, Jing Yi mara pusingan kedua Terbuka Australia


PEMAIN perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin mengesahkan tempat ke pusingan kedua Terbuka Australia selepas menewaskan Brice Leverdez 21-12, 21-14 dalam aksi pusingan pertama di Sydney, sebentar tadi.

Dia akan bertemu pemenang perlawanan antara pemain Jepun, Sho Sasaki dengan Hsu Jen Hao dari Taiwan dalam perebutan tempat ke suku akhir, esok.

Turut mengiringi Iskandar ialah perseorangan wanita, Tee Jing Yi yang menundukkan pemain tuan rumah, Chen Hsuan-Yu Wendy 21-18, 21-11.

Jing Yi dijangka berdepan tugas sukar di pusingan kedua esok apabila perlu bertemu sama ada pilihan kelapan, Tai Tzu Ying dari Taiwan atau pemain Jepun, Sayaka Sato.

Sementara itu, dua beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut mara ke pusingan 16 terbaik selepas menewaskan lawan masing-masing.

Peng Soon-Liu Ying mengatasi gandingan Australia, Robin Middleton-Leanne Choo 21-19, 21-17 manakala Kian Meng-Pei Jing mengetepikan cabaran satu lagi pasangan tuan rumah, Sawan Serasinghe-Setyana Mapasa 21-18, 21-16 dan akan menentang pilihan keempat kejohanan dari China, Liu Cheng-Bao Yixin.

Berita Harian X