Rabu, 8 Jun 2016 | 11:42am

Asrama PKAYIA rayu bantuan untuk Ramadan, Aidilfitri


ANAK yatim bersama ahli jawatankuasa Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Al-Ihsan (PKAYIA) yang memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

LIPIS: Penghuni asrama Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Al-Ihsan (PKAYIA), dekat sini, memohon bantuan kewangan dan barangan keperluan asas daripada pelbagai pihak untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

Asrama berkenaan beroperasi sejak lima tahun lalu dan didiami seramai 20 anak yatim perempuan berusia antara 10 hingga 17 tahun yang kehilangan tempat bergantung.

Pengurus asrama Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Al-Ihsan, Siti Najihah Amney Noor, 35, berkata pihak pengurusan memerlukan dana berjumlah RM12,000 untuk menyediakan keperluan untuk penghuninya bagi menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

Katanya, jumlah berkenaan adalah untuk menyediakan juadah sahur, berbuka puasa dan moreh selain pakaian untuk menyambut Aidilfitri.

"Setiap bulan kami perlu mengeluarkan belanja sehingga RM11,000 untuk menampung perbelanjaan makan dan minum, persekolahan serta bil utiliti asrama, dana kami ada sekarang ini hanya mampu bertahan selama dua bulan.

"Dana berkenaan disumbangkan pelbagai individu dan kita agak kesempitan pada masa ini dalam menampung perbelanjaan seharian termasuk menyediakan keperluan ketika Ramadan serta Aidilfitri," katanya.

Siti Najihah berkata, kekurangan dana juga menyebabkan masa depan anak yatim dan asrama berkenaan dalam keadaan tidak menentu.

"Sehubungan itu, kita memohon sumbangan kewangan dan barangan keperluan asas daripada pelbagai pihak untuk meneruskan operasi. Mereka yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi kami di talian 09-3101160," katanya.

Keterangan gambar:

Anak yatim bersama ahli jawatankuasa Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Al-Ihsan (PKAYIA) yang memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

Berita Harian X