Rabu, 8 Jun 2016 | 8:30pm

Tengku Mahkota Pahang berbuka puasa bersama warga UMP

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (dua kanan) bermesra dengan sebahahagian pelajar luar negara Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga UMP Pekan. - Foto Luqman Hakim Zubir

PEKAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan berbuka puasa bersama 4,000 warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan penduduk sekitar di kampus utamanya di sini, hari ini.

Turut berangkat, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Selain berbuka puasa, Tengku Abdullah yang juga Canselor UMP turut menyampaikan zakat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan bantuan kewangan Lembaga Pemegang Amanah Mygift UMP kepada seramai 40 pelajar UMP.

Selain itu, bantuan kewangan berkenaan turut diberikan kepada 100 pelajar maahad tahfiz sekitar Kuantan dan penduduk kampung sekitar Pekan.

Sementara itu, Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim, dalam ucapannya, berkata Pusat Islam dan Pembangunan Insan (Pimpin) UMP diberi tanggungjawab menyelaras program Festival Ramadan bagi mengimarahkan bulan yang mulia di kedua-dua kampus iaitu Pekan dan Gambang.

"Dengan penyertaan pelbagai peringkat warga kerja dan mahasiswa, aktiviti-aktiviti yang mengisi program Festival Ramadan ini dapat dilangsungkan dengan jayanya untuk manfaat semua.

"Ini termasuklah aktiviti rewang untuk jamuan iftar jamai'e secara bergotong royong oleh kakitangan dari pelbagai pusat bertanggungjawab mengikut giliran mulai 1 Ramadan hingga 26 Ramadan di UMP Pekan dan Gambang," katanya,

Daing Nasir berkata, program lain dirancang bagi mengimarahkan Ramadan adalah solat sunat tarawih, sahur, iftar jamai'e dan moreh selain program Kayuhan Mesra Rakyat, bubur lambuk, Anda Tanya Ustaz Jawab, Jejak Asnaf dan singgah sahur.

"Keseluruhan perbelanjaan itu dibiayai oleh Tabung Ramadan UMP berjumlah RM90,000 melalui inisiatif Mygift sumbangan tunai warga universiti ini serta tajaan dermawan," katanya.

Berita Harian X