Jumaat, 10 Jun 2016 | 7:01am

Iskandar, Zulfadli terkandas di Terbuka Australia


ZULFADLI Zulkiffli (kiri) dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

KUALA LUMPUR: Hanya dua pasangan beregu negara mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Australia yang berlangsung di Sydney, malam tadi.

Gandingan Chan Peng Soon/Goh Liu Ying yang diletakkan selaku pilihan ketujuh menang mudah ke atas beregu campuran Hong Kong, Reginald Lee Chun Hei/Chou Hoi Wah 21-11, 21-15 dalam pertarungan yang mengambil masa 29 minit.

Berikutan kemenangan itu, Peng Soon/Liu Ying bakal berdepan pasangan dari China, Liu Yuchen/Tang Jinhua yang mengejutkan pilihan kedua kejohanan dari Denmark, Joachim Fischer Nielsen/Christinna Pedersen 21-18, 21-16.

Turut mara ke suku akhir ialah beregu profesional lelaki negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong yang terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan pasangan di ranking kedua dunia, Mohammad Ahsan/Hendra Setiawan yang berlarutan sehingga ke set penentuan.

Kien Keat/Boon Heong yang tewas pada set pertama 17-21, bangkit untuk menang set kedua 21-17 sebelum menguasai set penentuan dengan kemenangan 21-19 ke atas pasangan dari Indonesia itu.

Pasangan negara itu akan berdepan satu lagi beregu Indonesia, Berry Angriawan/Rian Agung Saputro yang sebelum itu menyingkirkan pasangan negara, Goh V Shem/Tan Wee Kiong 21-14, 21-18.

Sementara itu, impian pemain perseorangan lelaki negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin untuk mara ke suku akhir, lebur apabila tumpas kepada pemain Jepun, Sho Sasaki 12-21, 16-21 pada pusingan kedua.

Pemain perseorangan profesional negara, Zulfadli Zulkiffli juga gagal menyekat jaguh nombor dua dunia, Chen Long dari China apabila tewas mudah 17-21, 12-21.

Nasib yang sama menimpa pemain perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi yang tewas kepada pemain pilihan kelapan dari Taiwan, Tai Tzu Ying 10-21, 19-21, manakala Goh Jin Wei tunduk kepada Saina Nehwal dari India 12-21, 14-21.

Turut terkandas adalah pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng/Lai Pei Jing.

Walaupun berjaya bangkit pada set kedua selepas tewas set pertama, pasangan negara itu gagal bertahan pada set penentuan dan terpaksa akur dengan kekalahan 9-21, 21-19, 11-21 kepada gandingan Liu Cheng/Bao Yixin dari China.

Pasangan tunggal beregu wanita negara Vivian Hoo/Woon Khe Wei juga gagal ke suku akhir apabila tunduk kepada pilihan ketiga dari China, Tang Yuanting/Yu Yang 18-21, 21-12, 17-21. - BERNAMA

Berita Harian X