Jumaat, 10 Jun 2016 | 9:54pm

Sinar Ramadan Bank Rakyat rai 100 anak yatim, asnaf


MUSTAFHA (kiri) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak Pertubuhan Kebajikan Baitul Hasan, anak yatim dan anak-anak golongan asnaf pada Majlis Sinar Ramadan-Dalam Keceriaan Ada Kesyukuran anjuran Bank Rakyat di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Berkembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Seramai 100 pelajar merangkumi anak yatim dan asnaf daripada Pertubuhan Kebajikan Baitul Hasan Kuala Lumpur diraikan dalam Majlis Sinar Ramadan anjuran bank koperasi terbesar negara, Bank Rakyat.

Selain itu, Bank Rakyat juga menyerahkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada pertubuhan itu.

Pengarah Urusan merangkap Presiden Bank Rakyat,  Datuk Mustafha Abd Razak, berkata sumbangan itu diharapkan dapat menceriakan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

Dengan kesempatan pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, katanya, selain dari melakukan beribadat, semua pihak perlu saling bantu-membantu golongan yang memerlukan.

"Inisiatif ini diharapkan dapat diadakan secara berterusan kerana ia wadah terbaik mengukuhkan keakraban antara Bank Rakyat dengan masyarakat secara langsung serta warga kerja amnya," katanya berucap pada majlis berkenaan selepas menyampaikan wang zakat kepada Pengasas Pertubuhan Baitul Hasan, Dino Rizal Suratman, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Jamil Saleh.

Dalam majlis sama, Mustafha turut melancarkan iklan korporat Kempen Ceria Beraya dan video lagu Hari Raya Aidilfitri Bank Rakyat bertajuk Indahnya Lebaran dendangan artis Shuib Sepahtu serta Mark Adam.

Berita Harian X