Jumaat, 10 Jun 2016 | 10:54pm

Peniaga bazar Ramadan tinggal sehelai sepinggang


NOORRULAZIAN melihat peralatan rumahnya yang hangus terbakar di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir, Kuala Nerus. - Foto Aswadi Alias

KUALA NERUS: "Kami lapan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dan tiada langsung wang kerana semua hasil jualan bazar Ramadan hangus dalam kebakaran," kata Noorrulazian Othman, mangsa kebakaran rumah di Kampung Telaga Daing, di sini.

Dalam kejadian itu kira-kira jam 12.30 tengah hari, Noorrulazian, 40, bersama tujuh anggota keluarga termasuk ibu dan bapanya berada di dapur kerana menyiapkan juadah untuk jualan di Bazar Ramadan Teluk Ketapang sebelum terdengar bunyi dentuman kuat dari atas rumah.

Sebaik sahaja mendengar bunyi berkenaan, dia bersama bapanya, Othman Bashah Salleh, 68, bergegas ke tingkat atas dan terkejut apabila mendapati api sudah marak di bahagian bumbung dan mula merebak ke bahagian dinding tingkat atas rumah.

"Sebelum itu saya memang ada terhidu bau seperti benda hangus terbakar tetapi ingatkan jiran sedang membakar sampah dan tidak syak apa-apa kejadian buruk.

"Tetapi selepas mendengar bunyi dentuman itu, saya berasa tidak sedap hati dan naik ke tingkat atas untuk melihat apa sebenarnya yang terjadi dan terkejut apabila mendapati api sudah marak di bumbung dan mula merebak ke bahagian lain di tingkat atas," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sebaik turun, Noorulazian terus bergegas ke dapur dan mencabut paip gas bagi mengelakkan berlaku letupan dan mengarahkan semua anggota keluarganya keluar rumah.

"Pada masa itu, saya hanya memikirkan keselamatan ahli keluarga dan tidak sempat menyelamatkan satu pun barang temasuk wang hasil jualan bazar Ramadan yang disimpan ibu.

"Bagaimanapun saya bersyukur kerana semua anggota keluarga selamat dan untuk sementara waktu, kami ditempatkan di Homestay Teluk Ketapang atas jasa Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman selepas beliau melawat kami petang tadi.

"Selain menguruskan tempat tinggal, beliau turut menghulurkan bantuan wang segera untuk perbelanjaan kami sekeluarga lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Ahmad Fatahi Abdul Rahman, berkata ketika pihaknya sampai, api sedang marak dan pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memadam kebakaran di rumah kediaman dua tingkat itu.

"Sejurus menerima panggilan, seramai 20 anggota bersama kekuatan empat jentera dari Balai Bomba Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dikejarkan ke lokasi kejadian dan kita mengawal kebakaran daripada merebak ke kediaman lain.

"Kejadian itu menyebabkan rumah berkenaan musnah 100 peratus dan punca kejadian serta kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Berita Harian X