Sabtu, 11 Jun 2016 | 12:06am
IRFAN Najmi bersama neneknya, Samshiah Abdullah. - Foto Eizairi Shamsudin
KINI Irfan akan menasihati sesiapa sahaja terutama rakan-rakannya agar tidak bermain dengan mercun. - Foto Eizairi Shamsudin

Irfan kini trauma api dan letupan


PADANG BESAR: Letupan mercun yang mulai kedengaran pada Ramadan tahun ini, membuatkan ingatan Mohamad Irfan Najmi Mohd Fitri, pantas terkenangkan tangan kanannya yang cedera parah terkena bahan lrangan terbabit.

Walaupun kejadian dialaminya sudah hampir sembilan bulan berlalu, namun insiden menyebabkan jari tengah tangan kanan, Irfan Najmi, 4, itu hampir putus akibat letupan mercun bola itu, ibarat baharu semalam berlaku.

Tidak hairanlah, Irfan kini fobia bukan sahaja dengan mercun, tetapi juga bunga api biasa. Pendek kata semua yang berkaitan dengan api, seolah-olah meninggalkan kesan kepada anak kecil itu.

"Irfan dah serik, tak mahu main mercun lagi. Bunga api pun tak mau, nanti tangan berdarah banyak macam dahulu, sakit sangat," ungkap anak kecil itu ketika ditemui di rumah keluarganya dekat Rancangan Perumahan Awam (RPA) di sini.

Irfan Najmi adalah antara mangsa letupan mercun bola, apabila bahan terlarang itu meletup dalam pegangannya ketika bermain di ruang tamu rumah.


IRFAN Najmi menunjukkan tangannya yang telah kembali pulih selepas terkena mercun bola pada tahun lalu. - Foto Eizairi Shamsudin

TANGAN kanan Irfan Najmi yang cedera terkena letupan mercun bola. - Foto Aizat Sharif

Mercun berkenaan didakwa saki baki sambutan Aidilfitri, yang dijumpai sebelum dimain dan meletup dalam kejadian jam 1.30 tengah hari pada 6 September tahun lalu.

Selain jari tengah cedera parah, kejadian itu turut menyebabkan tulangnya patah dan mengambil masa lebih sebulan untuk sembuh selepas menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Nenek Irfan, Samshiah Abdullah, berkata kejadian itu menyebabkan cucunya trauma sehingga takut kepada semua perkara yang membabitkan api.

"Jangan kata mercun, pemetik api pun kini dia takut. Kalau saya atau ibunya, Nor Azlina Hamidan, 22, memasak di dapur, Irfan akan duduk jauh-jauh, kejadian itu menyebabkan dia takut dengan api sehingga kini," katanya.

Samshiah berkata, sejak kejadian itu Irfan akan menasihati sesiapa sahaja terutama rakan-rakannya agar tidak bermain dengan mercun.

Katanya, cucunya itu bernasib baik kerana kecederaan yang dialami pulih hampir sempurna hingga kesan luka kurang kelihatan.

15 dibaca
Berita Harian X