Sabtu, 11 Jun 2016 | 10:15pm

MBSB rai anak yatim, sampai sumbangan zakat


AZLINA (tengah) beramah mesra bersama anak-anak yatim pada Majlis Iftar Bersama MBSB di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Saddam Yusoff

KUALA LUMPUR: Malaysia Building Society Berhad (MBSB) meraikan 125 anak yatim dan golongan kurang berkemampuan pada majlis berbuka puasa di Hotel Aloft, malam ini.

Mereka yang diraikan pada acara tahunan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) MBSB itu adalah dari Rumah Jalinan Kasih dan Pusat Jagaan Cahaya Bestari.

Naib Presiden Kanan Perancangan Korporat dan Komunikasi MBSB, Azlina Mohd Rashad, berkata pihaknya turut menyampaikan sumbangan zakat kepada 10 badan bukan kerajaan (NGO) selain duit raya dan cenderahati kepada anak yatim.

"Kita memperuntukkan lebih RM300,000 untuk program majlis berbuka puasa, sumbangan zakat dan bantuan hari raya pada tahun ini," katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Katanya, MBSB turut memberi hadiah wang tunai kepada 13 anak kakitangannya yang memperoleh semua A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain sumbangan kepada kakitangan yang melanjutkan pengajian.

Terdahulu, MBSB membawa 101 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Darul Ehsan dan Pusat Jagaan Siraman Kasih, membeli belah kelengkapan hari raya di kompleks beli-belah AEON Shah Alam.

"Kami berharap sumbangan berkenaan dapat memberi kegembiraan kepada mereka untuk menyambut Aidilfitri yang bakal tiba," kata Azlina.

Seorang daripada penghuni rumah kebajikan berkenaan, Aqilah Zainuddin, 16, bersyukur dan gembira kerana sumbangan terbabit membantunya serta rakan kurang berkemampuan lain membuat persiapan raya.

Berita Harian X