Ahad, 12 Jun 2016 | 10:46am

Rosmah di Istanbul hanya sehari - Duta

DUTA Besar Malaysia ke Turki, Datuk Amran Mohamed Zin.

KUALA LUMPUR: Kunjungan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ke Istanbul, Turki hanya untuk tempoh sehari, sekali gus menepis dakwaan sebelum ini kononnya ia berlanjutan hingga dua bulan.

Mengesahkan perkara itu, Duta Besar Malaysia ke Turki, Datuk Amran Mohamed Zin, berkata Rosmah tiba di Istanbul pada malam 25 Mei lalu kerana memenuhi jemputan Cambridge IF Analytica sempena Anugerah Global Good Governance (3G) 2016.

Katanya, sebaik majlis dianjurkan sempena Persidangan Global Pemberi Dana dan Sidang Kemuncak Kemanusiaan Sedunia melabuh tirai, isteri Perdana Menteri terus pulang ke Malaysia pada malam 26 Mei lalu.

"Beliau (Rosmah) menyampaikan ucaptama pada Anugerah 3G, selain menerima Anugerah Kebajikan Kanak-Kanak 3G susulan kejayaan program Permata Negara (PERMATA) yang dipersetujui secara global sebagai pemenang.

"Sebagai Penaung PERMATA, isteri Perdana Menteri diundang oleh pihak penganjur untuk menerima anugerah berkenaan dan ia pengiktirafan antarabangsa bagi sumbangan kepada pembangunan pendidikan, pembelajaran, psikologi, intelek serta fizikal kanak-kanak di Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amran berkata, Rosmah turut mengadakan pertemuan dengan anggota Majlis Tertinggi Pendidikan Qatar, Dr Sheikha Aisha Faleh, selain Pengerusi Lembaga Penaung World Congress of Muslim Philanthropists (WCMP) dan barisan kepimpinan Cambridge IF Analytica.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, mendakwa Rosmah menyewa pesawat Airbus ACJ319 yang lazimnya dinaiki kenamaan, termasuk Perdana Menteri selama dua bulan untuk ke Istanbul.

Penerbangan itu dakwanya dianggarkan membabitkan kos RM86.4 juta, selain mempersoalkan kedudukan Rosmah menggunakan pesawat peribadi terbabit.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X