Ahad, 12 Jun 2016 | 1:11pm

Aksi peragut dirakam CCTV

RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) gereja di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur.
RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) gereja di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Seorang penuntut jurusan undang-undang sebuah kolej swasta cedera dalam satu cubaan ragut ketika dia sedang menunggu teksi di hadapan pos pengawal sebuah gereja di Jalan Tun Sambanthan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, Angelin Chew Hsia May, 20, bengkak pada belakang kepala, calar dan luka pada tangan serta bibir dan dua batang gigi atasnya patah separuh selepas terjatuh dan kepalanya terhantuk pada simen ketika peragut cuba menarik beg silang dibawanya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah, berkata siasatan mendapati kejadian itu dipercayai didalangi tiga lelaki menaiki menaiki dua motosikal.

"Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) gereja terbabit, kita dapati dua motosikal dinaiki tiga suspek itu dilihat masuk ke halaman depan gereja sebelum berpatah balik ke arah mangsa yang berada di hadapan pos pengawal.

"Pembonceng motosikal pertama cuba merentap beg silang mangsa tetapi tidak berjaya dan terus melarikan diri. Bagaimanapun, ketika mangsa sedang terbaring kesakitan selepas terjatuh, penunggang sebuah lagi motosikal menghampiri mangsa dan melarikan telefon bimbit jenis iPhone 6 yang dipegang mangsa," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Zainol berkata, seorang wanita kemudian cuba menolong mangsa, namun pengawal keselamatan di dalam pos pengawal dikatakan menegahnya berbuat demikian dengan alasan tidak mahu mencampuri perkara itu.

"Wanita itu tidak mengendahkan arahan pengawal terbabit dan terus membantu mangsa sebelum menghubungi ambulans dan polis. Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.

"Susulan kejadian itu, sepasukan anggota polis ke gereja berkenaan untuk mendapatkan rakaman CCTV dan merakam percakapan saksi. Kita juga menahan pengawal keselamatan terbabit yang juga warga India kerana visanya sudah tamat tempoh," katanya.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek kini sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun hingga mendatangkan kecederaan.

Video rakaman CCTV kejadian itu yang dipercayai diperoleh mangsa dari pihak gereja mula tersebar di laman media sosial sejak semalam sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati netizen yang marah dengan tindakan peragut berkenaan.

Berita Harian X