Ahad, 12 Jun 2016 | 5:24pm

TH sumbang RM212,000 untuk program kebajikan di Melaka


Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan RM500 kepada penerima, Shamsuddin Abdullah,52 (kiri) sambil diperhatikan oleh Pengarah Tabung Haji negeri, Musalimah Mustaffa (kanan) pada majlis Sumbangan Zakat Program Ehsan Tabung Haji 2016 peringkat negeri di MRSM Tun Ghafar Baba, Jasin. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

JASIN: Tabung Haji (TH) menyediakan peruntukan berjumlah RM212,000 bagi melaksanakan aktiviti kebajikan dan tanggungjawab sosialnya di Melaka sepanjang tahun ini.

Aktiviti itu merangkumi sumbangan kepada golongan asnaf serta program berbentuk pendidikan, terutama kepada pelajar miskin.

Pengarah TH negeri, Musalimah Mustaffa, berkata sebagai permulaan, pihaknya memperuntukkan sejumlah RM112,000 untuk disumbangkan kepada golongan fakir dan miskin di negeri ini, menerusi Program Ehsan TH.

"RM100,000 lagi akan dibelanjakan untuk Program Iqra' yang membabitkan pelajar miskin yang dijadual diagihkan pada hujung tahun ini.

"Beberapa program tanggungjawab sosial (CSR) ini adalah program tahunan yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan duit raya kepada golongan fakir dan miskin menerusi Program Ehsan TH peringkat negeri, di Dewan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), di sini.

Pada majlis yang turut dihadiri Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah itu, seramai 224 penerima menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM500 setiap seorang.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin, berkata sumbangan itu membuktikan kewangan TH masih kukuh, sekali gus menolak dakwaan bahawa agensi berkenaan berhadapan dengan masalah kewangan.

Katanya, dakwaan pihak tertentu adalah fitnah terbesar kepada TH sehingga menyebabkan ramai penyimpan terpengaruh dan mengeluarkan simpanan mereka, sekali gus terpaksa menunggu giliran selama 70 tahun untuk menunaikan haji.

"Justeru, saya menasihatkan supaya orang ramai menilai segala dakwaan, terutama daripada parti pembangkang," katanya.

Berita Harian X