Ahad, 12 Jun 2016 | 5:38pm
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Kedah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain (kiri) bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Mohd Sallehhuddin Hassan (kanan) melawat tapak projek perumahan nelayan Tanjung Dawai, hari ini. - Foto BERNAMA

Nelayan buntu rumah di Tanjung Dawai lewat siap


ADUN Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain (dua dari kanan) bersama TKSU Kementerian Pertanian, Mohd Sallehuddin Hassan (kiri) meninjau projek perumahan nelayan di Tanjung Dawai. - Foto Omar Osman

SUNGAI PETANI: Hasrat golongan nelayan Tanjung Dawai, di sini, memiliki rumah baharu terus buntu apabila projek perumahan yang dibangunkan khusus untuk mereka di kawasan terbabit sehingga kini gagal disiapkan.

Walaupun sudah tiga kali tempoh lanjutan diberikan kepada kontraktor berbanding jangkaan awal tarikh siap 2014, projek berkenaan dilihat seolah-olah masih sukar untuk disiapkan sebelum tarikh akhir September depan.

Perkara itu diakui Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Md Zain, yang mengakui kesal dan kecewa dengan pihak kontraktor yang mengambil sikap sambil lewa dalam menyiapkan perumahan khusus untuk membantu meningkatkan taraf hidup nelayan Tanjung Dawai itu.

Beliau berkata, sepatutnya 300 unit rumah nelayan yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 2012 itu siap sepenuhnya September 2014, sebaliknya tiga kali tempoh lanjutan diberikan kepada kontraktor dan pembangunan semasanya tetap masih jauh daripada jangkaan siap September depan.

"Kelewatan ini mengecewakan, malah kualiti pembinaan rumah dan longkang juga kurang memuaskan...walaupun diberitahu sudah lebih 80 peratus siap, tetapi kualiti rumah tidak begitu baik dan kontraktor sepatutnya menjaga kualiti pembinaan rumah agar baik dan sempurna.

"Hasrat kerajaan adalah membantu golongan nelayan dengan memberi perumahan selesa dan sempurna...kita buat rumah bukan untuk pameran sahaja, sebaliknya untuk nelayan tinggal jangka masa lama....kalau begini keadaannya sudah pasti kerajaan akan dipersalahkan nanti," katanya selepas meninjau projek berkenaan, hari ini.

Projek perumahan nelayan Tanjung dawai dibangunkan di atas tanah seluas 10.9 hektar membabitkan 300 unit rumah berkembar tiga bilik dengan kos keseluruhan RM48 juta, yang menyasarkan pembangunan perumahan nelayan moden.

Selain rumah, sebuah dewan, surau, tadika dan enam lot kedai turut dibina yang mana perumahan terbabit akan menjadi penempatan menempat semula nelayan di kawasan Tanjung Dawai.

Mengenai permohonan memiliki rumah itu, Tajul Urus berkata sehingga 31 Mei lalu, LKIM menerima 230 permohonan dari 449 borang yang dikeluarkan kepada nelayan Tanjung Dawai, namun setiap nelayan perlu melepasi beberapa syarat ditetapkan termasuk menjadi ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dan tidak pernah terbabit kesalahan jenayah dan dadah.

"Keutamaan mendapat rumah ini hanya diberi kepada nelayan Tanjung Dawai sahaja...jika ada kekosongan rumah baharulah kita ditawarkan kepada nelayan dari kawasan lain dan pengambilan akan dilakukan secara berperingkat," katanya.

Berita Harian X