Isnin, 13 Jun 2016 | 12:03am

MSN bagi ruang bincang penyertaan kuartet ke Poland


KETUA Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. - Foto Owee Ah Chun

PUTRAJAYA: Keputusan penyertaan empat atlet olahraga remaja bagi penyertaan Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak dan Kejohanan Remaja Dunia di Bydgoszcz, Poland belum diputuskan lagi dan akan diketahui dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihaknya bersama Majlis Sukan Negeri, barisan kejurulatihan dan juga atlet terbabit - Badrul Hisyam Abdul Manap, Khairul Hafiz Jantan, Mohd Rizzua Haizad dan R Kirthana mengadakan perbincangan awal bagi membincangkan pilihan dan yang ada, hari ini.

"Kita mahu melihat gambaran sebenar untuk pilihan terbaik kepada atlet kita. Ini adalah proses biasa sebenarnya.

"Kebiasaannya kita adakan perbincangan pada Jawatankuasa program di antara MSN, panel jurulatih dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tetapi isu ini sudah berbangkit lebih awal, jadi kita adakan perbincangan dahulu sebelum Jawatankuasa Program dimaklumkan tidak lama lagi," katanya.

Keempat empat atlet terbabit menyerlah pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-17 di Ho Chi Minh City, Vietnam, minggu lalu dan meraih pelbagai kritikan apabila atlet terbabit dikatakan memilih untuk ke Sukma berbanding ke Kejohanan Dunia.

Ahmad Shapawi berkata, terdapat beberapa pilihan yang bakal diputuskan termasuklah pemilihan untuk menyertai kedua-dua kejohanan.

"Keputusan masih di tangan mereka sama ada salah satu kejohanan atau kedua-dua sekali. Kita akan bincangkan aspek bila mereka 'peak' dan jika mereka memilih untuk menyertai kedua-dua kejohanan, maka kita akan bincang dulu bersama Institut Sukan Negara (ISN)," katanya.

Berita Harian X