Isnin, 13 Jun 2016 | 1:14pm

MSN tekad hantar empat atlet remaja ke Poland


Timbalan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ab Jalil Abdullah.

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) memberi bayangan betapa empat atlet olahraga remaja tetap akan dihantar bertanding pada Kejohanan Remaja Dunia di Bydgoszcz, Poland namun dalam masa sama mereka juga akan beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak.

Timbalan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ab Jalil Abdullah, berkata walaupun masih belum ada keputusan muktamad dibuat tetapi sudah menjadi hasrat MSN untuk semua atlet terbabit - Badrul Hisyam Abdul Manap, Khairul Hafiz Jantan, Mohd Rizzua Haizad dan R Kirthana bertanding mewakili negara di pentas antarabangsa.

"Kita berbalik kepada objektif SUKMA iaitu mahu mencungkil bakat baharu, ...selepas itu sudah pasti kita mensasarkan mereka untuk bertanding di pentas antarabangsa. Namun, atlet juga ada pilihan dan perkara ini membabitkan banyak pihak.

"Kita sudah berbincang tetapi belum ada keputusan lagi. Kita akan maklumkan keputusan mengenainya selepas mengadakan mesyuarat dengan KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) dalam masa terdekat ini.

"Apa pun memang hasrat kita untuk menghantar atlet itu semua bertanding di Poland. Jadi, kita akan mencari jalan terbaik untuk membolehkan mereka bertanding dalam kedua-dua kejohanan," kata Jalil ketika ditemui merasmikan Forum Kejurulatihan di Dewan Komanwel MSN Bukit Jalil, hari ini.

Badrul Hisyam dan Khairul Hafiz layak ke Kejohanan Remaja Dunia untuk acara 100m dan 200m manakala Kirthana dan Rizzua masing-masing layak dalam acara lompat kijang wanita serta 110m lari berpagar lelaki.

Namun, keempat-empat mereka memilih untuk bertanding di SUKMA berbanding Kejohanan Dunia sekali gus mendapat kritikan pelbagai pihak.

Mengikut jadual, Kejohanan Dunia akan bermula 19 hingga 24 Julai manakala acara olahraga bagi SUKMA bermula 26 hingga 29 Julai.

Berita Harian X