Isnin, 13 Jun 2016 | 4:45pm

Wanita di Kelantan tidak menutup aurat kena tegur


Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) member notis kepada wanita yang memakai pakai ketat dalam Op Aurat di sekitar Kota Bharu. - Foto Betty Subaryati

KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHAEIK) menjalankan operasi di beberapa pasar raya utama di bandar ini dengan membuat pemeriksaan terhadap wanita yang memakai pakaian mencolok mata.

Operasi yang dijalankan kira-kira 20 anggota penguat kuasa JAHAEIK dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) itu bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang saman tetapi hanya membuat teguran.

Istilah berpakaian tidak menutup aurat seperti ditakrifkan JAHEIK adalah memakai pakaian yang seksi, ketat dan menampakkan susuk tubuh serta tidak bertudung atau memakai baju lengan pendek dan seluar pendek.

Mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan berkaitan Seksyen 5 (1) iaitu melakukan perbuatan tidak sopan boleh membawa hukuman denda RM1,000 atau penjara enam bulan.

Wartawan BH yang mengikuti operasi itu, melihat anggota penguat kuasa JAHAEIK menegur wanita yang berpakaian ketat, selain memberi risalah mengenai enam kesalahan wanita Muslim dalam berpakaian sebagai pedoman.

Seorang wanita yang diberi teguran oleh JAHAEIK, berkata dia tidak menyedari memakai blaus adalah pakaian yang tidak menutup aurat.

"Selepas ini, saya perlu mengubah penampilan dengan memakai seluar lebih longgar kerana undang-undang dan peraturan JAHAEIK itu untuk kebaikan wanita Muslim," katanya.

Sementara itu, ketika operasi diadakan di sebuah pasar raya di Pengkalan Chepa, seorang jurujual barangan dandanan diri mempertahankan pakaiannya yang berseluar ketat dan berbaju-T kerana mendakwa ia disediakan syarikatnya.

Bagaimanapun, anggota penguat kuasa JAHAEIK tetap bertegas mahu wanita yang sudah berkahwin itu mengubah penampilannya seperti mengikut brosur diedarkan JAHAEIK.

54 dibaca
Berita Harian X