Sabtu, 8 November 2014 | 1:16pm

Penduduk Cameron Highlands jalani aktiviti seperti biasa - Polis

CAMERON HIGHLANDS: Aktiviti harian penduduk yang terjejas banjir lumpur di Kampung Baru, Ringlet dan Lembah Bertam di sini berjalan seperti biasa, kata Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Wan Zahari Wan Busu.

Beliau berkata, perniagaan di kawasan terbabit juga beroperasi seperti biasa walaupun keadaan cuaca mendung dan gerimis.

Katanya, setakat ini, seramai 91 orang daripada 28 keluarga masih berada di pusat pemindahan banjir di Dewan Orang Ramai Ringlet.

"Mangsa banjir yang selebihnya pulang ke rumah saudara masing-masing," katanya kepada BERNAMA hari ini.

Wan Zahari berkata, terdapat juga penduduk Kampung Baru yang pulang ke rumah masing-masing untuk membersihkan rumah mereka.

"Kita tidak membenarkan penduduk mendiami rumah mereka lagi kerana cuaca tidak menentu dan dikhuatiri banjir akan berlaku lagi," katanya.

Dalam kejadian 6.30 petang Rabu lalu, penduduk di tebing Sungai Bertam dekat sini diarahkan berpindah apabila air Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat ekoran parasnya yang semakin meningkat akibat hujan lebat.

Sementara itu, Pekan Ringlet juga dilanda banjir kilat apabila air di sungai berhampiran naik melebihi paras tebing berikutan hujan lebat selama sejam.

Dalam kejadian itu, lima mangsa turut terkorban manakala lima lagi cedera.

Ia menjejaskan 203 penduduk yang terdiri daripada 47 keluarga di Kampung Baru dan Lembah Bertam yang terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Dewan Orang Ramai Ringlet.

- BERNAMA

Berita Harian X