Selasa, 14 Jun 2016 | 12:23am

Trudeau percaya tebusan warga Kanada dipenggal

JUSTIN Trudeau.
JUSTIN Trudeau.

OTTAWA: Kerajaan Kanada memaklumkan salah seorang rakyatnya yang diculik militan IS di selatan Filipina sembilan bulan lalu sudah dibunuh, menurut Perdana Menteri Justin Trudeau, semalam.

"Dengan rasa amat sedih saya mempercayai seorang rakyat Kanada, Robert Hall yang dijadikan tebusan di Filipina sejak 21 September 2015 sudah dibunuh penculik," kata Trudeau dalam satu kenyataan.

Ahli kumpulan penculikan untuk wang tebusan, Abu Sayyaf sebelum ini berkata, mereka akan membunuh Hall jika tidak menerima wang tebusan 300 juta peso (RM26.50 juta), semalam.

"Sementara pegawai rasmi Kanada bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Filipina untuk mengesahkan kematian Hall, kami mempunyai sebab untuk mempercayai laporan ini benar," kata Trudeau.

Hall adalah antara empat orang yang diculik pada September tahun lalu di atas sebuah kapal layar di sebuah pusat peranginan di Pulau Samal, selatan Filipina.

Seorang lagi warga Kanada turut diculik ketika itu, John Ridsdel dipenggal pada April lalu selepas tuntutan wang tebusan sama berjumlah 300 juta peso tidak dibayar. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X