Selasa, 14 Jun 2016 | 8:40am

Lelaki setia kepada IS tikam polis Perancis


Kenderaan khas tentera Perancis RAID meninggalkan lokasi serangan kumpulan militan IS di Magnanville, 45 km barat Paris. - Foto AFP

PARIS: Seorang lelaki yang mendakwa taat setia kepada kumpulan militan Negara Islam (IS) menikam seorang anggota polis Perancis sehingga mati malam semalam sebelum terbunuh dalam satu operasi polis, lapor sumber.

Pendakwa raya Perancis melancarkan siasatan anti-keganasan selepas anggota polis itu dan isterinya dibunuh di rumah mereka di pinggir Bandar Magnanville, Paris.

Saksi memberitahu penyiasat, lelaki itu mungkin melaungkan "Allahu Akbar" (Allah Maha Besar) ketika menikam anggota polis berkenaan berulang kali di luar rumahnya sebelum menahan seorang wanita dan anak lelaki pasangan itu yang berusia tiga tahun.

Sumber memberitahu AFP, penyerang mendakwa taat setia kepada kumpulan IS ketika berunding dengan polis dari unit elit RAID (Unit Polis Perancis).

Pembunuhan itu berlaku sehari selepas seorang lelaki bersenjata yang mendakwa bertindak atas nama IS, menembak mati 49 orang di sebuah kelab malam gay di Orlando, Florida - insiden tembakan terburuk dalam sejarah Amerika Syarikat.

Pertumpahan darah itu juga berlaku ketika Perancis menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Euro 2016 dalam kawalan keselamatan yang ketat, berikutan masih belum pulih daripada serangan pengganas di Paris, November tahun lalu yang menyebabkan 130 orang mati.

Letupan kuat kedengaran di tempat kejadian ketika pegawai RAID membuat serbuan selepas rundingan dengan penyerang gagal.

Pegawai menemui mayat wanita itu ketika menyerbu bangunan dengan penyerang turut terbunuh dalam serangan itu, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Pierre-Henry Brandet.

Anak kecil pasangan itu masih terkejut tetapi tidak cedera, dan kini sedang menerima rawatan perubatan, kata pendakwa. - AFP

Berita Harian X