Rabu, 15 Jun 2016 | 9:07am

Jerebu: Singapura tidak boleh dakwa rakyat Indonesia - Jakarta

KEADAAN jerebu di Singapura. - Foto news.asiaone.com

JAKARTA: Indonesia tidak akan membenarkan salah seorang rakyatnya yang dituduh menyebabkan kebakaran hutan tahun lalu didakwa di bawah undang-undang Singapura, kata Naib Presiden Jusuf Kalla.

"Jika ada kesalahan, Singapura boleh mengambil tindakan, tetapi (kesalahan itu) berlaku di Indonesia, itu masalahnya," katanya Ahad lalu.

Kalla merujuk kepada tindakan Singapura terhadap syarikat-syarikat bertanggungjawab menyebabkan kebakaran hutan di Indonesia yang membawa kepada krisis jerebu merentasi sempadan tahun lalu.

Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan, Siti Nurbaya Bakar semalam menyuarakan sentimen sebagai menjawab soalan pemberita selepas persidangan perubahan iklim di Jakarta.

Beliau berkata, perjanjian ASEAN mengenai pencemaran jerebu rentas sempadan adalah pelbagai hala, dan bukan perjanjian dua hala antara Singapura dan Indonesia.

Oleh itu, Singapura tidak boleh melangkah lebih jauh ke dalam undang-undang Indonesia," tambah Siti.

Beliau berkata Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura (THPA) kekal sebagai undang-undang "kontroversi" yang masih menjadi perdebatan dalam kalangan pegawai ASEAN dari Singapura, Brunei, Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Beliau merasakan tindakan Singapura di bawah undang-undang terhadap syarikat yang tidak bertanggungjawab di negara beliau tidak menunjukkan rasa "saling menghormati" kepada Indonesia.

"Prinsip asas kerjasama ialah negara-negara perlu menghormati kedaulatan masing-masing," katanya.

Beliau berkata, Indonesia tidak berdiam diri dan sudah mengenakan sekatan ke atas syarikat yang bertanggungjawab atas kebakaran yang menyebabkan jerebu.

Komen terbaharu itu dibuat selepas Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura berkata bulan lalu bahawa ia sudah memperoleh waran mahkamah terhadap pengarah syarikat Indonesia sejajar dengan THPA. - Agensi

Berita Harian X