Rabu, 15 Jun 2016 | 1:58pm

IS sasar rekrut wanita


Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

SEKINCHAN: Militan IS dikesan cuba menyebarkan ideologi dengan menyasarkan anggota baharu dalam kalangan wanita di negara ini.

Pengarah Bahagian Antipengganas (E8), Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kumpulan pengganas itu merekrut wanita yang dianggap lebih bernilai untuk melahirkan zuriat sebagai pelapis.

Katanya, statistik terkini menunjukkan satu per lima daripada seramai 40,000 anggota IS adalah wanita.

"Malah, kumpulan pengganas ini cuba mendekati orang bukan Islam. Kalau saya cakap perkara ini orang tidak percaya tetapi tarikan menyertai kumpulan pengganas ini sudah berlaku di Korea dan Jepun.

"Saya ada memaklumkan perkara ini kepada Presiden MCA (Datuk Seri Liow Tiong Lai). Mula-mula beliau tidak percaya tetapi selepas saya pasangkan lagu nasyid bahasa Mandarin dan beberapa bukti lain, beliau terkejut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Wacana Isu Semasa Negara Bersama Penjawat Awam Dewan Sekolah Menengah Agama Pasir Panjang, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, daripada 75 rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas itu, seramai 18 orang disahkan terbunuh, manakala enam direkrut sebagai pengebom bunuh diri.

"Kumpulan pengganas ini turut merancang menculik Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan, (dan membuat keganasan) termasuk di lokasi stategik negara," katanya.

Berita Harian X