Rabu, 15 Jun 2016 | 6:25pm

TH Sabah agih zakat RM80,000 kepada asnaf

PENGARAH TH Sabah, Datin Nurlaila Said mengagihkan zakat kepada asnaf dan fakir miskin sempena Program Ehsan TH peringkat negeri di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Sejumlah RM80,000 zakat diagihkan Tabung Haji (TH) Sabah kepada 160 asnaf dan fakir miskin sekitar daerah Kita Kinabalu, Tuaran dan Papar.

Pengarah TH Sabah, Datin Nurlaila Said, berkata pemberian zakat itu adalah sempena penganjuran Program Ehsan TH yang diadakan di seluruh negara sempena Ramadan.

Katanya, program berkenaan bertujuan meringankan beban kewangan golongan asnaf dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

"Kita percaya program seperti ini berupaya memupuk dan melahirkan masyarakat penyayang dan memberi kebahagiaan kepada golongan memerlukan selain menjadi platform TH memahami permasalahan yang dihadapi komuniti setempat.

"TH komited untuk menggalas tanggungjawab selaras matlamat tanggungjawab sosial korporat (CSR) TH.

"Program ini memperlihatkan keprihatinan TH ke atas keperluan masyarakat Islam khususnya golongan kurang berkemampuan di negeri ini," katanya ditemui selepas mengagihkan zakat sempena Program Ehsan TH peringkat negeri di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah TH Sabah, Mustafa Kamal Abdul Latif; Pengurus TH Hotel, Iqbal Nassem dan Pengasas Jamae'ah Foundation, Ambotola Pelu.

Nurlaila berkata, TH turut melaksanakan pelbagai program CSR seperti Program Mobiliti menerusi sumbangan berbentuk kenderaan jenazah bagi kegunaan masjid terpilih.

"TH bukan sahaja menjalankan urus niaga berasaskan kewangan dan membantu masyarakat menunaikan haji, malah bertanggungjawab menghulurkan bantuan kepada semua golongan memerlukan mencakupi bidang pendidikan, kesihatan dan kemasyarakatan," katanya.

Berita Harian X