Khamis, 16 Jun 2016 | 11:04am

SAJ pastikan bekalan air di Mersing pada Aidilfitri

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Johor (SAJ) Abdul Wahab Abdul Hamid (duduk empat dari kiri) beramah mesra bersama pengamal media yang hadir pada Majlis Berbuka Puasa SAJ di Selasih Seri Gelam semalam.Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Wilayah Selatan Abdull Sukor Ismail (duduk empat dari kanan). - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd (SAJ) akan memastikan tiada gangguan bekalan air khususnya di daerah Mersing, dekat sini berlaku menjelang sambutan Aidilfitri, bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif SAJ, Abdul Wahab Abdul Hamid, berkata bagi memanjangkan tempoh penyimpanan bekalan air di Mersing, bekalan air berjadual dilaksanakan di kawasan berkenaan sehingga 15 Julai ini.

"Walaupun SAJ melanjutkan bekalan air berjadual di Mersing, kita akan memastikan bermula 29 Jun sehingga 9 Julai ini, penduduk di Mersing tidak berdepan dengan gangguan bekalan air.

"Kita sedar ramai akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri, maka secara tidak langsung berlaku peningkatan dari segi penggunaan air," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran SAJ di sini, malam tadi.

Abdul Wahab berkata, paras air di Empangan Congok di Mersing ketika ini mencatat bacaan di paras 3.63 meter, berbanding paras amaran 4.88 meter.

Katanya, Sungai Mersing mencatat bacaan pada paras 12.48 meter, berbanding paras amaran 11.70 meter dan peningkatan itu susulan hujan di kawasan sekitarnya sejak minggu lalu.

"Bekalan air berjadual di kawasan Kota Tinggi sudah ditamatkan sejak dua minggu lalu tetapi kita menasihatkan orang ramai supaya berjimat menggunakan air," katanya.

Berita Harian X