Khamis, 16 Jun 2016 | 1:05pm
Al Rajhi Bank Malaysia (ARBM).

Al Rajhi Bank lancar Kad Debit-i Rafahia


Pemangku Pengerusi Al Rajhi Bank Malaysia, Datuk Dr Nik Norzrul Thani (tengah) semasa pelancaran kad Debit Rafahia di Maya Hotel. Turut hadir, Ketua Eksekutif Bank Al Rajhi Malaysia, Steven Chen (kanan) dan Pengarah Perbankan Runcit, Alan Wee Mun Seng (kiri). - Foto HAFIZ Sohaimi

KUALA LUMPUR: Al Rajhi Bank Malaysia (ARBM) hari ini melancarkan Kad Debit-i Rafahia, kad debit Islam pertama di negara ini yang disertakan dengan perlindungan takaful bernilai RM1 juta untuk tempoh 12 bulan.

Menawarkan pelbagai manfaat dan ciri istimewa, Kad Debit-i Rafahia juga direka khusus untuk kemudahan perjalanan jemaah haji dan umrah di mana setiap pemegang kad mendapat perlindungan di seluruh dunia sehingga RM500,000 dan peningkatan sekali ganda bagi pelanggan yang mengerjakan haji dan umrah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Steven Chan, berkata menerusi perlindungan takaful itu, pelanggan juga menerima bayaran balik sehingga RM60,000 bagi pengangkutan ke hospital berdekatan jika berlaku sebarang kemalangan ketika mengerjakan ibadat di Tanah Suci.

"Kad Debit-i Rafahia adalah yang pertama seumpamanya di negara ini dan meliputi perlindungan sepanjang tahun, berganda, pemindahan kecemasan, haji badal dan kehilangan bagasi," katanya pada majlis pelancaran Kad Debit-i Rafahia Al Rajhi di sini, hari ini.

Katanya, pelanggan juga akan menerima pembayaran badal haji sehingga RM8,000 dan menikmati pembayaran sehingga RM1,500 sekiranya berlaku kehilangan bagasi ketika perjalanan.

"Kami percaya kad debit ini sangat sesuai untuk bakal jemaah Malaysia dalam memenuhi keperluan dan kemudahan mereka di sana kerana Al Rajhi juga menawarkan caj pengeluaran wang tunai terendah iaitu RM6 setiap transaksi di mana-mana ATM Al Rajhi Bank di Arab Saudi.

"Dengan ciri istimewa yang dimiliki oleh Kad Debit-i Rafahia, kami menyarankan mereka yang berhajat untuk menunaikan umrah atau haji pada tahun depan segera melanggan kad ini bagi memastikan perjalanan anda lebih tenang dan mudah," katanya.

-Ends-

Berita Harian X