Ahad, 9 November 2014 | 11:53am
TINJAUAN banjir lumpur di sekitar pekan Ringlet berikutan keadaan hujan lebat berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat dan mengakibatkan berlakunya banjir lumpur. - Foto Khairull Azry Bidin
TINJAUAN banjir lumpur di sekitar pekan Ringlet berikutan keadaan hujan lebat berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat dan mengakibatkan berlakunya banjir lumpur. - Foto Khairull Azry Bidin

Mangsa banjir di Cameron Highlands dibenar pulang bersihkan rumah

CAMERON HIGHLANDS: Mangsa banjir di sekitar Ringlet dan Lembah Bertam yang ditempatkan di pusat pemindahan sejak Rabu lepas berikutan pelepasan air Empangan Sultan Abu Bakar, hari ini dibenarkan pulang untuk membersihkan rumah masing-masing.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, penduduk dibenarkan pulang bagi tujuan itu, berikutan keadaan cuaca cerah pagiini. "Pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat akan sentiasa memantau keadaan ketika penduduk melakukan kerja pembersihan," katanya ketika dihubungi Bernama,di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya penduduk terbabit hanya akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila keadaan disahkan selamat.

Katanya, jumlah mangsa di pusat pemindahan di Dewan Serbaguna Orang Ramai di Ringlet setakat 9.30 pagi ini masih kekal 91 orang daripada 28 keluarga.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang Rabu lalu, penduduk di tebing Sungai Bertam dekat sini diarahkan berpindah apabila air Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat ekoran parasnya yang semakin meningkat akibat hujan lebat.

Sementara itu, Pekan Ringlet juga dilanda banjir kilat apabila air di sungai berhampiran naik melebihi paras tebing ekoran hujan lebat selama sejam.

Dalam kejadian itu, lima mangsa turut terkorban manakala lima lagi cedera. - BERNAMA

Berita Harian X