Jumaat, 17 Jun 2016 | 11:38am

Konsep patuh syariah HAL dapat pengiktirafan

HOTEL Adya Langkawi .

LANGKAWI: Konsep patuh syariah yang diperkenalkan hotel milik kerajaan negeri, Hotel Adya Langkawi (HAL) di sini, berjaya mengubah pandangan skeptikal sesetengah pihak kononnya ia sukar diterima masyarakat bukan Islam khususnya pelancong asing.

Pengerusi PKB Hotel Management & Service Sdn Bhd, Nor Saidi Nanyan, berkata konsep itu diterima baik pelancong bukan Islam, sekali gus melayakkan HAL menerima Anugerah Standard Kualiti Islam (IQS) daripada Universal Crescent Standard Center (UCSC), Mac lalu.

"Sejak beroperasi pada 15 Januari tahun lalu, kami berbangga kerana kira-kira 50 peratus pelancong yang menginap di hotel ini adalah warga asing yang bukan Islam.

"Mereka datang ke sesuatu negara kerana nak tengok kelainan di tempat itu. Mereka bukan nak tengok kaunter minuman keras," katanya pada sidang media sempena program Sambutan Ramadan di hotel itu, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC), Zulkifly Md Said; Pengarah Tourism Malaysia Kedah, Roslan Othman dan Pengurus Besar HAL, Razmi Rahmat.

Nor Saidi yang juga Ahli Dewan Undangan Ngeri (ADUN) Kuah, berkata HAL komited dalam penyediaan makanan halal, malah semua kakitangan wanita diwajibkan berpakaian menutup aurat dan menawarkan kolam renang berasingan bagi lelaki dan wanita.

"Difahamkan HAL adalah hotel pertama di negara ini yang mewujudkan jawatan rasmi Eksekutif Hal Ehwal Islam bagi memastikan hotel sentiasa mematuhi piawaian syariah," katanya.

Berita Harian X