Jumaat, 17 Jun 2016 | 11:35pm

REHDA rai 59 anak yatim Rumah Aman


PRESIDEN REHDA, Datuk Seri FD Iskandar Mohamed Mansor (tengah) bersalaman dengan anak yatim ada Majlis Berbuka Puasa dan Makan Malam Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) di Petaling Jaya, malam ini. - Foto Yazit Razali

PETALING JAYA: Keceriaan jelas terpancar di wajah 59 anak yatim yang diraikan pada Majlis Berbuka Puasa dan Makan Malam Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) di sini, malam ini.

Mereka yang diraikan adalah dari Rumah Aman 2, Saujana Utama (Rumah Anak Yatim dan Kebajikan), Selangor.

Presiden REHDA, Datuk Seri FD Iskandar Mohamed Mansor, berkata program berbuka puasa bersama anak yatim yang kali pertama diadakan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk berkongsi keindahan Ramadan bersama golongan yang memerlukan.

"Walaupun industri hartanah kekal mencabar, REHDA tetap komited menganjurkan program CSR seumpama ini bagi berkongsi keceriaan dan rezeki kepada anak-anak kecil ini," katanya berucap pada majlis itu.

Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Media Prima Bhd menyampaikan sumbangan duit raya dan cenderahati kepada anak yatim, selain sumbangan kepada rumah kebajikan berkenaan.

Sementara itu, Ema Syarina Shaharani selaku pentadbir Rumah Aman berkata, sumbangan yang diterima mampu memberi sinar kepada kanak-kanak berkenaan lebih-lebih lagi kebanyakan mereka adalah daripada golongan kurang bernasib baik.

"Pihak Rumah Aman sangat berterima kasih kepada REHDA kerana sudi menjemput anak-anak kami malah sumbangan yang diterima juga sekurang-kurangnya menampung kos operasi harian pihak Rumah Aman yang kini dihuni seramai 60 orang," katanya.

Berita Harian X