Sabtu, 18 Jun 2016 | 1:14pm

MUIP sediakan RM300,000 untuk pesakit


SETIAUSAHA Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain (kanan) bersama Pengarah Hospital Pekan, Datuk Dr Daud Othman (tengah) menyampaikan sumbangan khas kepada pesakit di Hospital Pekan. Foto Shahrinnahar Latib

PEKAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyampaikan sumbangan wang tunai dan hamper kepada 70 pesakit di Hospital Pekan, bagi meringankan beban keluarga masing-masing.

Setiausahanya, Datuk Ahmad Hairi Hussain, berkata sumbangan itu diagihkan menerusi program tahunan Ziarah Prihatin Pesakit Miskin Sempena Ramadan yang menyediakan peruntukan lebih RM300,000 bagi disalurkan kepada pesakit di hospital di seluruh daerah.

Beliau berkata, sumbangan berkenaan bertujuan mengurangkan beban tanggungan keluarga pesakit untuk membuat persiapan menyambut puasa.

"Sumbangan yang kita agih kepada setiap pesakit ialah wang tunai dan hamper dan ia bukan sahaja diberi kepada pesakit beragama Islam tetapi juga kepada pesakit bukan Islam.

"Bagi pesakit yang bukan Islam kita menggunakan peruntukan daripada baitulmal manakala untuk orang Islam daripada zakat," katanya ditemui di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Hospital Pekan, Datuk Dr Daud Othman.

Ahmad Hairi berkata, sumbangan itu diharap dapat memberi motivasi dan meningkatkan semangat pesakit yang bertungkus-lumus berusaha untuk kembali sembuh.

Berita Harian X