Ahad, 19 Jun 2016 | 2:25pm

Lama di tempat kerja baik untuk lelaki, buruk bagi wanita


GAMBAR hiasan. Pekerja wanita kerja lebih masa.

WASHINGTON: Bekerja lebih 40 jam seminggu boleh memberi masalah kesihatan serius kepada wanita, seperti risiko tinggi mendapat barah atau sakit jantung, tetapi memberi kesan baik kepada lelaki, menurut satu kajian baharu.

Saintis Universiti Ohio menganalisis temubual 7,500 orang yang diberikan kepada Tinjauan Ukuran Beliau Kebangsaan selama lebih 32 tahun (antara 1978 dan 2009) untuk membuat rumusan.

Mereka mencari jawapan kepada tempoh bekerja purata mingguan selain penyakit terutama masalah jantung, barah bukan kulit, arthritis, diabetes, penyakit paru-paru kronik, asma, kemurungan teruk dan hipertensi.

Keputusan analisis disiarkan dalam Journal of Occupational and Environmental Medicine.

Kesan negatif tidak dapat dikesan pada awalnya, tetapi jika wanita memperuntukkan lebih 40 jam seminggu bekerja, kesihatannya mula berada dalam risiko, kata saintis.

Ia semakin meningkat dengan lebih 50 jam bekerja seminggu. Apabila tempoh bekerja mencecah 60 jam atau lebih seminggu, risiko diabetes , barah, sakit jantung dan arthritis meningkat tiga kali ganda.

"Orang ramai tidak berfikir bagaimana pengalaman kerja awal memberi kesan kemudian.

"Wanita dalam usia 20-an, 30-an dan 40-an, meletakkan diri dalam masalah pada kemudian hari," kata profesor pengurusan perkhidmatan kesihatan dan dasar yang juga penulis kajian, Allard Dembe.

Menariknya, lelaki yang juga bekerja dalam tempoh panjang iaitu 41 hingga 50 jam seminggu didapati cuma terdedah kepada satu penyakit, arthritis.

Perbezaan ketara antara jantina itu menjelaskan hakikat tanggungjawab wanita selalu mengatasi aktiviti profesionalisme mereka.

Selain mengejar matlamat kerjaya, mereka juga melakukan kerja rumah yang menambah tekanan, menurut kajian. - Agensi

Berita Harian X