Ahad, 19 Jun 2016 | 5:37pm

Kerajaan Pusat ubah dasar demi rakyat Kelantan


NAJIB berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kekal Mangsa Banjir di Kampung Staponal, di Kuala Krai, hari ini. - Foto Fathil Asri

KUALA KRAI: Kerajaan Pusat sanggup mengubah dasar sebanyak dua kali apabila membina rumah kekal mangsa banjir yang bernilai RM65,000, dan membeli tanah bagi pembinaan rumah kekal.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menyifatkan perkara itu tidak pernah berlaku sebelum ini, namun Kerajaan Pusat sanggup berbuat demikian demi rakyat Kelantan.

"Kita ubah dasar dua kali, pertama apabila kerajaan membina rumah kekal mangsa banjir bernilai RM65,000 manakala yang keduanya, apabila kita berhadapan masalah tanah sebelum kita memutuskan untuk membeli tanah milik industri atau perseorangan bagi membina rumah kekal.

"Tidak pernah selama ini kita berbuat seperti itu. Namun, bumi Kelantan mengubah dasar negara buat kali pertama.

"Justeru, sekiranya ada pihak mengatakan Kerajaan Pusat menganaktirikan Kelantan, itu satu tuduhan tidak benar dan tidak berasas," katanya berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kekal Mangsa Banjir di Kampung Staponal, di sini, hari ini.

Seramai 31 penerima menerima rumah kekal berkenaan.


CHE Wan Sa'at, 50, gembira menerima replika kunci daripada Najib pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kekal Mangsa Banjir di Kampung Staponal, di Kuala Krai, hari ini. - Foto Fathil Asri

Yang turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Najib berkata, nilai rumah dan tanah termasuk kos tanah dan rumah terhadap penerima berjumlah RM200,000 memandangkan tanah berkenaan berstatus industri.

Katanya, Kerajaan Pusat akan menyiapkan semua 966 rumah yang dipertanggungjawabkan dan hanya 54 rumah sahaja belum dibina.

"Kita berjanji akan menyiapkan baki 54 itu secepat mungkin," katanya.


NAJIB bersama sebahagian penerima pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kekal Mangsa Banjir di Kampung Staponal, di Kuala Krai, hari ini. - Foto Fathil Asri

Berita Harian X