Ahad, 19 Jun 2016 | 11:48pm

Penyanyi 'The Voice' Mexico mati ditembak

Alejandro 'Jano' Fuentes

CHICAGO: Seorang penyanyi Chicago, yang pernah tampil dalam program 'The Voice' versi Mexico pada 2011, maut ditembak ketika sedang menyambut hari kelahiran bersama rakannya.

Pejabat Pemeriksa Perubatan Cook County mengesahkan Alejandro 'Jano' Fuentes meninggal dunia selepas ditembak tiga kali di bahagian kepala, lewat Khamis lalu, di luar sekolahnya, Tras Bambalinas di barat daya Chicago.

Serangan itu berlaku kurang seminggu selepas pembunuhan seorang lagi penyanyi program berkenaan, Christina Grimmie di Orlando, Florida.

Fuentes masuk ke dalam keretanya bersama beberapa orang kawan dan tiba-tiba seorang lelaki mengarahkan Fuentes keluar dan menembaknya.

Polis berkata, mereka belum menahan suspek serangan itu.

Stesen televisyen WGN melaporkan polis sedang menyiasat sama ada insiden tembakan itu adalah rampasan kereta atau rompakan.

Rakan Fuentes di Chicago berkata, mereka menganjurkan upacara memperingati penyanyi itu di luar studionya di Chicago, petang semalam. - AP

Berita Harian X